
Dalam keadaan ekonomi dunia penuh cabaran ni, kita mesti nak anak-anak kita ada masa depan yang terjamin, kerjaya yang mampu memberikan kehidupan lebih baik.
Nak dapat kerja zaman sekarang ni bukan mudah. Setiap graduan perlu bersaing dengan ratusan ribu graduan untuk merebut tempat dalam industri.
Awal September tahun ni pun Menteri Sumber Manusia, Steven Sim laporkan kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun meningkat.

3 Bidang Patut Jadi Pilihan UPU
Hari ni SK nak kongsi dengan lepasan SPM, 3 bidang yang korang boleh pilih waktu mohon UPU nanti dan senang dapat kerja untuk tempoh 5 tahun akan datang.
Kira sijil adik-adik nanti laku dalam pasaran dan banyak peluang kerjaya jika adik-adik belajar dan berjaya dalam kursus bidang ni.
Bidang pertama adalah bidang Sekuriti Siber. Antara kursus-kursus yang menawarkan pembelajaran dari peringkat Diploma, Ijazah dan seterusnya ialah Teknologi Maklumat dan Sains Komputer, IT Keselamatan Siber dan banyak lagi.
Jadi, bolehlah adik-adik mengkaji kelayakan minimum untuk lanjutkan pelajaran dalam bidang ini sekiranya berminat.
Kedua, bidang teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui. Antara kursus yang ditawarkan adalah Green technology, Kejuruteraan Elektrik (tenaga boleh diperbaharui) dan banyak lagi.
Antara peluang pekerjaan yang ada dalam pasaran adalah Jurutera Tenaga Boleh Diperbaharui, Jurutera Projek (Solar/ Tenaga boleh diperbaharui), Juruteknik Sistem Solar dan banyak lagi.
Antara tugas kerja-kerja disebut di atas adalah membangunkan dan menilai sistem tenaga boleh diperbaharui seperti solar, angin, biojisim, hidro kecil. Mengurus projek dari awal sampai siap – daripada perancangan, bajet, procurement, pemasangan hingga ke commissioning dan membantu dalam pemasangan sistem solar PV (panel, inverter, kabel, mounting structure).
Info tambahan, kekosongan jawatan dalam bidang Elektrik dan Elektronik melebihi 5% pada tahun 2024.
Malaysia memerlukan 50,000 orang jurutera E&E setiap tahun namun universiti tempatan hanya melahirkan 5,000 orang graduan.
Ketiga, bidang kesihatan dan penjagaan sosial seperti kursus kejururawatan, biomedical dan banyak lagi.
Antara peluang kerjaya adalah Jururawat, Pegawai Kesihatan Awam, Pembantu Pegawai Perubatan dan banyak lagi.
Tugas-tugas dalam kerja yang disebut adalah menyediakan penjagaan langsung kepada pesakit (memberi ubat, ambil bacaan vital sign, dressing luka), merancang & melaksanakan program kesihatan awam (contoh: vaksinasi, kawalan penyakit berjangkit, promosi gaya hidup sihat) dan menyokong doktor & pegawai perubatan dalam rawatan asas (jahit luka, bantu resusitasi, ambil darah).
Adik-adik yang berminat jadi nurse boleh cuba bidang ni. Itulah 3 bidang yang banyak menyediakan peluang pekerjaan dalam tempoh 5 tahun akan datang.
Bidang TVET Tawar Kadar Kejayaan Tinggi
Tapi adik-adik sedar tak yang ketiga-tiga bidang yang SK kongsi ni adalah dalam bidang Technical and Vocational Education and Training (TVET)?
Bidang-bidang ini lah yang menawarkan banyak peluang pekerjaan dan kadar kejayaan yang tinggi.
Bidang yang sebelum ni kerap menjadi pilihan kedua sebab ramai di antara kita mungkin mempunyai persepsi tidak tepat tentang TVET.
Persepsi Ibu Bapa Bertukar Positif
Financial Industry Collective Outreach (FINCO) ada keluarkan satu laporan kaji selidik mengenai Persepsi vs Realiti TVET di Malaysia.
Dari kaji selidik yang dibuat, lebih 40% persepsi ibu bapa dari negatif bertukar positif selepas anak mereka menceburi bidang TVET.

Selain itu, lebih 50% dari ibu bapa responden kekal positif dengan kursus TVET yang mereka ceburi dari awal hingga tamat pengajian.
Ini menunjukkan persepsi TVET dari pandangan ibu bapa dah berubah positif berbanding zaman dahulu yang lebih senang melihat anak-anak ceburi bidang kedoktoran, undang-undang dan sebagainya.
Kesedaran Terhadap TVET Membimbangkan
Namun, ada satu kebimbangan dalam laporan kaji selidik ini apabila kesedaran terhadap kebolehpasaran bidang TVET ini sangat rendah.
Dari 1,229 responden, 96% tidak tahu bidang TVET menawarkan pengajian sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah.
Lebih membimbangkan, pelajar yang sedang belajar dalam kursus TVET pun ada yang tidak tahu bidang TVET boleh lanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.

Ibu bapa dan pihak sekolah seharusnya memainkan peranan penting untuk membuka mata bakal lepasan SPM seterusnya bahawa bidang TVET kini boleh menjamin masa depan kerjaya yang jauh lebih baik dari sebelum ini.
Universiti juga perlu masuk ke sekolah-sekolah memperkenalkan kursus-kursus TVET yang menawarkan peluang kerja yang tinggi untuk diceburi oleh lepasan SPM nanti. Jangan lagi biarkan TVET menjadi pilihan kedua.
Pendidikan Salah Satu Pelaburan Hidup
Pendidikan juga salah satu pelaburan kehidupan untuk jangka masa panjang. Bila dah melabur pasti kita nak tengok pulangan yang berbaloi kan?
Seperti SK sebutkan berkali-kali sebelum ini, bidang TVET menawarkan banyak peluang pekerjaan dan sudah pasti graduan TVET mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.
Kaji selidik dari FINCO ini juga menunjukkan, 66% majikan mempunyai tahap permintaan sederhana sehingga tinggi untuk mengambil graduan TVET sebagai pekerja.

Manakala, 24% majikan yang sudah mengupah graduan TVET juga percaya mereka memerlukan ramai lagi graduan TVET dalam industri mereka.
Ini cukup menjadi indikator sebilangan besar graduan TVET memiliki lebih besar peluang mendapatkan tempat dalam pasaran selepas tamat pengajian berbanding bidang lain.
Pada saat anda melangkah keluar dari university, sudah beratur majikan-majikan mahukan graduan TVET dalam industri mereka dan ia menjadikan TVET satu pelaburan pendidikan yang sangat berbaloi.
Pelajar Sekolah Perlu Diberi Pendedahan
Jadi, dari sekarang anda dah boleh mula meneroka kursus TVET apa yang sesuai dengan minat anda dan pastikan juga bidang yang anda pilih memiliki permintaan yang tinggi dalam peluang pekerjaan.
Ibu bapa dan guru juga perlu membimbing bakal lepasan SPM ini untuk mereka menentukan hala tuju mereka selepas alam persekolahan
Jika anda sebagai lepasan SPM atau ibu bapa yang memiliki anak lepasan SPM atau guru-guru yang mengajar calon SPM, sebarkanlah kelebihan bidang TVET ini seluas mungkin.
Ini kerana diluar sana masih ramai yang belum cakna bahawa TVET mampu memberikan jaminan kehidupan yang lebih baik di masa hadapan.
TVET juga sudah berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bidang-bidang profesional yang lain dan bukan lagi sekadar pilihan kedua.
Butiran lanjut mengenai kaji selidik dari FINCO, SK tinggalkan pautan laporan kaji selidik di sini.