
Kehilangan kapal selam milik Tentera Laut Indonesia (TNI), KRI Nanggala-402 yang membawa 53 anak kapal pada Rabu, ternyata mengejutkan ramai.
Kapal tersebut yang dipercayai berada di perairan kira-kira kedalaman 700 meter, terputus hubungan setelah diberi kebenaran untuk menyelam.
Mengimbas kembali sejarah mengenai kehilangan kapal selam, terdapat ratusan kapal selam di dunia yang telah hilang sejak perang dunia bergolak. Namun, ada juga yang berjaya ditemui setelah puluhan tahun seperti empat kapal selam ini.
Kapal selam milik Angkatan Laut Amerika Syarikat (US) iaitu USS Grayback tenggelam di Lautan Pasifik semasa Perang Dunia II.
Berdasarkan carian di laman web rasmi Jabatan Pertahanan AS, Grayback merupakan salah satu daripada 52 kapal selam AS yang dilaporkan hilang semasa konflik besar. Enam kapal selam lain telah ditemui dalam beberapa dekad.
Pada masa itu, Grayback sedang menyusuri dasar laut dan dijangka tiba di Midway pada 7 Mac 1944. Namun, kapal itu tidak pernah sampai dan disenaraikan sebagai hilang pada 30 Mac 1944.
Sehingga akhirnya, Komando Sejarah dan Warisan Angkatan Laut mengesahkan penemuan Grayback pada 5 Jun 2019.
Ia ditemui pada kedalaman 1,427 kaki di bawah permukaan laut di pantai Okinawa, Jepun.
Setelah 75 tahun berada di dasar laut, Grayback menjadi kapal selam AS pertama yang ditemui di perairan pantai Jepun dan telah mengorbankan 80 anak kapalnya.
Bangkai kapal selam British, HMS Urge, yang hilang pada Perang Dunia II, telah ditemui di dasar laut di Pantai Malta, pada bulan Oktober 2019.
Menurut Reuters, HMS Urge berlayar pada 27 April 1942 dengan membawa 32 anak kapal, 11 anggota tentera laut dan seorang wartawan.
Wartawan itu adalah wartawan perang Bernard Gray, satu-satunya wartawan Britain yang dipercayai mati di kapal selam semasa Perang Dunia II.
Kapal ini gagal sampai di Alexandria dan dilaporkan hilang.
Pasukan penyelidik dari University of Malta, telah menghabiskan dua dekad melakukan pemerhatian pada laut tempatan dan kawasan di mana banyak kapal ditumbangkan oleh pasukan Nazi statu ketika dahulu.
Kapal selam U-20 adalah kapal milik Jerman. Kapal selam ini dihantar ke Laut Hitam oleh pasukan Nazi untuk menentang musuh.
Ianya merupakan sebahagian dari armada 6 kapal selam bagi mendominasi angkatan laut di Laut Hitam semasa Perang Dunia II.
Ianya kemudian diserang pada 10 September 1944, di Laut Hitam di perairan pantai Turki.
Pada 3 Februari 2008, The Daily Telegraph melaporkan bahawa U-20 telah ditemui oleh Selcuk Kolay, seorang jurutera marin Turki di kedalaman 80 kaki (24 meter) di pantai Karasu, wilayah Sakarya utara.
Kapal selam R-8 terputus hubungan di Navy Yard, Amerika Syarikat pada 26 Februari 1936 dan berjaya ditemui setelah 84 tahun.
Menurut CBS Baltimore, R-8 adalah salah satu dari 27 kapal selam yang ditugaskan oleh Tentera Laut AS semasa Perang Dunia I.
Dibina pada tahun 1918 oleh Fore River Shipbuilding di Quincy, Massachusetts, kapal selam R-8 dilaporkan transit di Terusan Panama dan menjadi sebahagian dari Armada Pasifik.
Pada bulan Disember 2020, bangkai kapal ini ditemui di perairan pantai Ocean City, Maryland.
Sumber: Kompas.com, Wikipedia