SHAH ALAM, 13 April (Bernama) — Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar bagi membantu siasatan kematian seorang lelaki yang juga rakan senegara mereka dalam kejadian di belakang sebuah kedai di Seksyen 25 di sini, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata kejadian itu dilaporkan oleh orang awam yang berada di kawasan sekitar kira-kira 6.30 petang dan hasil siasatan awal mendapati mangsa yang berusia lewat 20-an mengalami kecederaan parah akibat ditikam di bahagian perut.
Beliau berkata dua lelaki berkenaan bekerja sebagai penjaga kedai makan manakala wanita pula merupakan tukang jahit.
Kesemuanya yang berusia lingkungan 20-an hingga 40-an ditahan pada hari sama di sekitar lokasi itu dan kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan dua pisau iaitu berhampiran mangsa dan berdekatan longgokan sampah di lorong berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Klang untuk bedah siasat dan setakat ini pihaknya belum mengenal pasti motif pembunuhan itu.
Beliau berkata siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengesan saki-baki suspek dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat ASP Mohd Afandi Ahmad di talian 03-5520 2222.
— BERNAMA