Lelaki Warga Bangladesh Langgar SOP PKP Cuba Rasuah Polis Dipenjara, Didenda

Sha Rossa

ALOR SETAR, 26 Jan (Bernama) — Seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merasuah seorang anggota polis pada 20 Jan lepas.

Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Mosarof, 30, yang didakwa menawarkan suapan RM500 kepada Koperal Muhammad Syazwan Ahmad Safiudin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

Dia didakwa berbuat demikian kerana telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021, serta tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, di Plaza Tol Lunas (BKE) Kilometer 18.8 Lebuhraya Butterworth-Kulim, kira-kira 3.30 petang, 20 Jan lepas.

Mohammad dituduh di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaan SPRM Mohamad Fauzee Azizan manakala Mohammad tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, semasa kejadian, Mohammad bersama seorang lagi individu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Lunas, Kulim dengan menaiki sebuah teksi.

Semasa ditahan dalam sekatan jalan raya, anggota polis meminta surat kebenaran rentas negeri yang merupakan antara prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) daripada tertuduh, namun dia gagal berbuat demikian dan sebaliknya menawarkan rasuah agar tidak ditahan.

— BERNAMA