Seorang lelaki yang dikehendaki pihak polis dilaporkan menyerahkan dirinya kepada pihak polis di West Sussex untuk mengelakkan daripada menghabiskan lebih banyak masa dalam perintah berkurung bersama dengan orang-orang yang tinggal sebumbung dengannya, lapor The Guardian.
Lelaki tersebut telah menyerahkan dirinya secara sukarela kepada polis Sussex pada Rabu petang.
Menurut The Guardian, lelaki tersebut bertindak sedemikian untuk mencari “kedamaian dan ketenangan”.
Polis menyatakan bahawa lelaki itu, yang “ingin masuk semula ke penjara”, telah menyerahkan dirinya ke balai polis Burgess Hill dan kini sedang berada dalam tahanan dan akan kembali dihantar ke penjara.
Ahli psikologi melaporkan bahawa terdapat peningkatan pada kes orang yang mengalami gejala tekanan secara berterusan seperti keletihan di tempat kerja, masalah tidur dan konsentrasi, dan banyak orang yang terdesak untuk melakukan kontak dengan manusia selepas beberapa bulan hidup dalam keadaan terasing.
Kembali ke penjara adalah salah satu langkah terbaik baginya daripada hidup bersama dengan orang yang tinggal sebumbung dengannya, menurut The Guardian.
Inspektor Darren Taylor, dari polis Sussex, menulis di Twitter: “Damai dan tenang! Lelaki yang dikehendaki telah menyerahkan dirinya kepada pasukan kami tengah hari semalam selepas memaklumkan kepada kami bahawa dia lebih rela kembali ke penjara daripada menghabiskan masa bersama dengan orang-orang yang tinggal dengannya! Dia kini sedang dalam tahanan dan akan dihantar kembali ke penjara untuk menjalani hukumannya.”
Sumber: The Guardian