lelaki turkiye terima kasih
Kredit: Facebook

Lelaki Turkiye Ucap ‘Terima Kasih Malaysia’ Atas Bantuan Gempa

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Lelaki Turkiye Ucap ‘Terima Kasih Malaysia’ Atas Bantuan Gempa

Seorang lelaki Turkiye, dipercayai mangsa gempa bumi yang melanda negara itu baru-baru ini telah mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia. Ucapan itu dibuat sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan yang diberikan kepada negaranya.

Menerusi sebuah video yang dimuat naik oleh laman Facebook milik Global Peace Malaysia (GPM), video yang berdurasi tujuh minit itu memaparkan ucapan ringkas dari seorang warga Turkiye.

Lelaki tersebut pada awalnya mengucapkan Terima Kasih menggunakan Bahasa Melayu terlebih dahulu. Ini menunjukkan bahawa video tersebut ditujukan kepada rakyat Malaysia secara umum.

Seterusnya, dia mengulangi ucapan ucapan terima kasih dalam Bahasa Inggeris di atas segala bantuan yang disalurkan rakyat Malaysia ke Turkiye setakat ini.

“Terima kasih atas segala-galanya.”

Difahamkan, badan amal tersebut telah mengedarkan lebih 1,000 bungkusan makanan kepada mangsa-mangsa gempa disana.

Gabungan Prihatin Turkiye-Syria tiba di Gaziantep dan terus hadir ke dapur awam yang mana proses masakan disediakan.

Hidangan yang disediakan ialah nasi dengan kacang hummus bersama lauk ayam, ayam belanda dan lemak ambing atau lauk Lya dalam bahasa tempatan

Dalam hantaran sebelum ini, GPM memaklumkan pihaknya telah meninjau proses mencari & menyelamat berdekatan Dataran Demokrasi di Islahiye, Gaziantep.

Pihaknya turut dimaklumkan bahawa dua jasad telah ditemui ketika proses mencari dan menyelamat dijalankan di sana.

Malaysia Sumbang Lebih US$2 Juta Untuk Turkiye, Syria

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaklumkan Malaysia akan menyalurkan sumbangan lebih US$2 juta (lebih RM8.6 juta) kepada Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu.

Beliau berkata Jemaah Menteri bersetuju menyediakan US$1 juta manakala Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar turut berkenan menyumbang US$1 juta lagi bagi tujuan tersebut.

Dalam pada itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan turut akan menyumbang RM10 juta akan disalurkan ke Turkiye dan Syria.

Gempa bumi besar dengan magnitud 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut beribu nyawa di Turkiye dan Syria. Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

BACA: Gempa Bumi: Malaysia Sumbang Lebih US$2 Juta Untuk Turkiye, Syria

Sumber: Global Peace Malaysia (GPM) via Facebook