Kredit: Anadolu Agency

Lelaki Derita Positif COVID-19 Sejak Lebih Setahun Lalu

Faiz Mustafa

Seorang warga Turki berusia 56 tahun dipercayai positif Covid-19 dan dikuarantin sejak 14 bulan yang lalu. Dia telah melakukan ujian Covid-19 lebih kurang 78 kali sejak hari pertama pada November 2020.

Menurut Oddity Central, Muzaffer Kayasan dari Turki telah berkurung di hospital dan di rumahnya sudah lebih dari setahun. Dia kini didakwa terdesak mencari jalan untuk kembali menjalani kehidupan yang dahulu.

Selepas dijangkiti virus tersebut pada November 2020, Kayasan telah dimasukkan ke hospital dan dirawat sehingga ia sembuh. Walaupun begitu, dia masih berada dalam keadaan positif walaupun sudah berjaya mengatasi kesemua simptom dan terpaksa berada dalam pengasingan.

Selain itu, berdasarkan kenyataan Oddity Central, lelaki yang berasal dari Turki ini juga menghidapi penyakit leukemia dan mempunyai masalah imunisasi. Menurut pakar kesihatan di sana, virus Corona ini akan kekal di dalam tubuhnya. Dia juga telah diberikan ubat untuk meningkatkan imunisasi tubuhnya, namun ia memerlukan proses yang panjang.

Disebabkan perlu mengasingkan diri dengan begitu lama, kehidupan sosial Muzaffer hampir musnah. Dia tidak boleh berinteraksi dengan sesiapa termasuklah ahli keluarganya sendiri dan hanya mampu melihat anak dan cucu-cucunya melalui tingkap sahaja. Hanya isteri dan anak bongsunya masih tinggal bersamanya.

“Saya tidak mempunyai masalah tinggal di sini selain tidak dapat menyentuh orang yang saya sayang. Saya tidak dibenarkan mendapatkan suntikan vaksin disebabkan keadaan saya,” katanya kepada Anadolu Agency.

Menurut Oddity Central, walaupun ujian positif yang dilakukan oleh Muzzafer masih kurang jelas dari segi rekod dan ketepatannya, dia masih perlu menjalani kuarantin.

Namun, dia sudah tidak boleh terus hidup dalam keadaan itu dan memohon kepada pihak berwajib untuk mencari jalan penyelesaianya. Malangnya, vaksin bukanlah jawapan bagi masalah dia kerana faktor kesihatan.

Sumber: Oddity Central & Anadolu Agency