
Seorang lelaki berdepan detik cemas dan trauma apabila lidahnya tertusuk dawai besi berukuran satu sentimeter ketika sedang makan nasi itik baru-baru ini.
Menurut Mothership, lelaki tersebut yang dikenali sebagai Chan membeli nasi itik berkenaan di Pusat Makanan dan Pasar Sims Vista di Aljuneid, Singapura.
Difahamkan, ketika sedang mengunyah makanan, dia mengesan ada sesuatu yang agak ‘berbeza’ dengan bunyi retak di dalam mulutnya, disusuli lidah turut terasa sakit.
Perkara itu membuatkan Chan terpaksa melakukan beberapa percubaan untuk mengeluarkan dawai besi yang sedikit melengkung itu dari lidahnya.
Selepas berjaya mengeluarkannya, barulah dia menyedari bahawa dawai besi halus itu seakan menyerupai bentuk cangkuk.

BACA JUGA: Dawai Kokot Pada Bungkusan Makanan, Peniaga Boleh Didenda Hingga RM10,000
Sejurus ejadian itu, Chan terus menghubungi pemilik gerai terbabit menerusi laman Facebook, dalam masa sama turut membuat laporan kes itu melalui aplikasi “OneService”.
Menurut Chan, dia masih belum menemui doktor bagi rawatan susulan kerana lidahnya hanya mengalami bengkak dan tiada pendarahan yang serius.
“Namun, saya boleh merasai darah dalam mulut saya dari masa ke semasa. Saya teringat rasa sakit berdenyut-denyut apabila saya menggerakkan lidah dalam mulut,” tambahnya lagi.
Kejadian malang itu merupakan pengalaman buruk kali pertama yang berlaku sepanjang Chan ke gerai nasi itik berkenaan selama ini.
Apabila ditanya sama ada dia akan ke situ lagi, jawabnya, “Agak sukar untuk dikatakan, tambahan pula ia menjadi pengalaman yang agak traumatik.
“Sejujurnya, selepas saya mengeluarkan besi itu, saya terus makan kerana saya sangat lapar. Tetapi setiap gigitan saya sangat berhati-hati,” katanya lagi.
Sementara itu, ahli keluarga pemilik gerai itu berkata, dawai besi yang dijumpai dalam nasi itik itu mungkin kemalangan yang tidak disengajakan.
Tambahan pula, pengusaha gerai itu sudah berada dalam industri selama 40 tahun tanpa sebarang aduan sedemikian.
Namun, pemilik gerai tersebut tetap berhasrat untuk berhubung dengan pelanggannya itu.

Sumber: Mothership