Lelaki Tidak Lengkap Vaksinasi COVID-19 Ditahan Rentas Negeri, Bawa Ketum

Eyla Azri

IPOH, 18 Okt (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki selepas didapati merentas negeri tanpa lengkap vaksinasi COVID-19 dan membawa tujuh guni berisi daun disyaki ketum hasil pemeriksaan ke atas keretanya di kawasan Hentian Rehat dan Rawat Behrang, Tanjung Malim Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Sulizmie Affendy Sulaiman berkata lelaki berusia 53 tahun itu ditahan sepasukan anggota yang menjalankan pemantauan pematuhan Op COVID-19 kira-kira 11 malam.

“Daun disyaki ketum seberat kira-kira 60 kilogram itu dianggarkan bernilai RM2,400.

“Semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan masih tidak lengkap dos vaksin COVID-19 tetapi telah melakukan pergerakan merentas negeri dari Kedah ke Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan itu, pihaknya mengeluarkan kompaun bernilai RM2,000 kepada lelaki itu mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 kerana merentas negeri tanpa vaksinasi lengkap.

Katanya lelaki yang memiliki rekod lampau berkaitan dadah itu direman hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

— BERNAMA