Kredit CBS News

Lelaki Temui Fosil Dinasour Di Halaman Belakang Rumah, Dipercayai Terbesar Di Eropah

Syed Faisal Sayed Muhammad

Temui Fosil Dinosaur Terbesar Di Halaman Belakang Rumah

Rangka seekor dinosaur dilapor ditemui di halaman belakang rumah seorang lelaki di Pombal, Portugal, baru-baru ini. Ia dianggap sebagai penemuan penting selepas rangka berkenaan dipercayai adalah yang terbesar pernah ditemui di Eropah, lapor CBS News, Rabu lepas.

Pemilik tanah tersebut sebelum ini menemui sebahagian kecil serpihan fosil di kawasan tersebut ketika menjalankan kerja pengubahsuaian rumahnya pada 2017. Susulan itu, dia kemudiannya melaporkan perkara berkenaan kepada pihak yang berkaitan dan kerja-kerja eskavasi dijalankan oleh sekumpulan penyelidik bermula pada tahun yang sama.

Awal bulan ini, ahli paleontologi dari Sepanyol dan Portugal yang bekerja di tapak itu mendedahkan bahawa mereka percaya fosil yang ditemui merupakan spesies dinosaur Sauropod terbesar yang pernah ditemui di benua itu. Panjang rangka tulang rusuk dinasour yang ditemui itu adalah kira-kira 3 meter atau 10 kaki.

Kredit CBS News

Sauropod ialah dinosaur yang memakan tumbuhan, berkaki empat dengan leher panjang dan mempunyai ekor yang panjang. Dinosaur ini berukuran kira-kira 39 kaki tinggi dan 82 kaki panjang.

“Bukan mudah untuk menjumpai semua tulang rusuk haiwan seperti ini, apatah lagi dalam kedudukan ini, mengekalkan kedudukan anatomi asalnya. Cara pemeliharaan ini agak luar biasa dalam rekod fosil dinosaur, khususnya sauropod, dari Upper Jurassic Portugal,” kata Dr. Elisabete Malafaia, seorang penyelidik di Universiti Lisbon, dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengulas lanjut mengenai penemuan tersebut.

“Pemeliharaan seperti ini agak jarang berlaku untuk dinosaur besar dari rekod fosil Portugis dan menunjukkan ciri alam sekitar dan taphonomik yang khusus dan luar biasa,” katanya kepada CBS News pada hari Khamis.

Beberapa bahagian penting rangka dinasour berkenaan juga berjaya ditemui di tapak tersebut termasuk vertebra dan tulang rusuk kemungkinan brachiosaurid sauropod, atau brachiosaurus. Spesies dinosaur berkenaan dipercayai mendiami Bumi pada tempoh 160 hingga 100 juta tahun dahulu.

Disebabkan ciri pemeliharaan dinosaur, penyelidik percaya bahagian lain rangkanya juga akan ditemui berdekatan penemuan itu. Malafaia berkata mereka merancang untuk kembali ke tapak penemuan semula pada tahun hadapan.

“Rekod fosil ini telah menambah data penting untuk lebih memahami fauna benua yang mendiami Semenanjung Iberia semasa zaman akhir Jurrasic,” katanya kepada CBS News.

Sumber: CBS News