Lelaki temui bom perang dunia kedua di tasik, satu penemuan yang begitu mengejutkan ramai pihak di Liverpool.
LIVERPOOL – Seorang lelaki menemui bom yang dipercayai wujud sejak Perang Dunia Kedua ketika sedang memancing di tasik Taman Greenbank, England baru-baru ini, lapor Mirror.
Difahamkan, pada awalnya, ketika lelaki itu sedang memancing, cermin mata hitamnya terjatuh dan dia terpaksa mencarinya di dalam tasik itu.
Namun dia menjumpai bom yang belum meletup secara tidak sengaja. Pihak polis akhirnya mengetahui penemuan bom itu, sebelum bertindak menutup taman tersebut.
Seorang saksi berkata, dia menyaksikan kejadian itu ketika sedang berjalan bersama anjing peliharaannya di taman tersebut.
“Ketika itu saya melihat ada dua orang di sana, salah seorangnya kehilangan cermin mata (terjatuh) dan sedang mencarinya. Ketika itulah dia menjumpainya (bom).
“Selepas itu, pihak polis menutup taman tersebut dan memberitahu orang ramai agar menjauhi kawasan berkenaan. Pasukan pemusnah bom turut hadir di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita Liverpool Echo.
Pihak polis dan anggota tentera terlibat dilihat membawa beg pasir ke lokasi bom ditemui itu. Tidak lama kemudian, polis mengesahkan bahawa ia adalah sebuah bom yang belum meletup.
Menurut jurucakap polis Merseyside, “Kami mengesahkan laporan mengenai benda yang ditemui dan ia dipercayai bom yang tidak meletup di Taman Greenbank semalam (hari kejadian),”
Gambar: MirrorDia hadir di tempat kejadian pada sekitar jam 5.20 petang selepas seorang penduduk awam melaporkan berita tersebut.
“Kawasan itu telah ditutup manakala tentera EOD meletupkan bom berkenaan dalam keadaan terkawal.
“Kami berterima kasih kepada orang ramai atas kesabaran mereka semasa kejadian itu,” jelasnya lagi.
Penemuan itu mendapat perhatian media setelah seseorang memuat naik video di Twitter yang memaparkan letupan terkawal oleh pasukan bom tentera berkenaan.
Letupan bom terkawal itu menghasilkan kepulan asap naik ke udara bersama beg pasir yang diletakkan di sekeliling lokasi kejadian, sekali gus mengejutkan orang awam yang berada di sana.
Terdahulu, merujuk Mirror, Liverpool dilapor pernah dibom dengan teruk semasa Perang Dunia Kedua.
Menerusi laman web Imperial War Museums, serangan udara pertama yang berlaku adalah pada Ogos 1940 ketika musim luruh.
Kemudian, 15 serangan selanjutnya pula berlaku pada September (tahun yang sama) dan sembilan lagi serangan pada bulan berikutnya.
Bagaimanapun, serangan terbesar berlaku adalah pada 28-29 November (tahun tersebut) apabila bandar itu dihujani 350 tan bom jenis letupan tinggi dan 3,000 bahan pembakar yang menyaksikan 30 lombong musnah dan 300 orang hampir mati.
Sumber: Mirror