Di era teknologi ini, ramai antara kita pasti pernah menggunakan aplikasi Google Maps untuk mencari alamat rumah mahupun untuk mencari seseorang.
Baru-baru ini, seorang lelaki di Jepun telah ‘menjumpai’ sosok ayahnya di Google Earth. Ayahnya itu dilaporkan telah meninggal dunia tujuh tahun lalu dan ciapan lelaki itu yang menjelaskan penemuannya tersebut telah tersebar secara meluas di internet.
Pengguna Twitter @TeacherUfo menyatakan bahawa ketika di musim pandemik ini, dia telah bertindak untuk mencari rumah orang tuanya di Google kerana kebosanan.
Namun, dia terkejut apabila mengetahui bahawa kamera Google telah menangkap gambar ayahnya yang sedang berdiri di tepi jalan, serta ibunya yang sedang berjalan. “Saya nampak sosok ayah saya yang telah meninggal dunia tujuh tahun lalu,” tulisnya, sambil berkongsikan dua gambar jalan di Jepun.
“Ayah saya pasti sedang menunggu ibu saya, dia seorang yang pendiam tetapi baik,” tulisnya.
Dia juga meminta Google untuk tidak mengemas kini semula gambar pemandangan jalan tersebut. Ciapan berkenaan telah menerima lebih dari 600 ribu Likes dan lebih 100 ribu ulang ciap di Twitter sejak ianya dikongsikan.
Sumber: India Times