KUALA LUMPUR, 6 Julai — Seorang lelaki yang disyaki aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang ditahan dalam operasi polis di Balakong, dekat sini.
Pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM300,000 dirampas dalam operasi pada jam 10.40 malam Sabtu itu.
“Lelaki berusia 29 tahun itu kemudian membawa polis ke sebuah kondominium di Kampung Baru Balakong iaitu tempat menyimpan bekalan dadah,” kata Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di kondominium itu, polis menemukan dadah jenis syabu seberat 2.41 kilogram (kg) dan serbuk methamphetamine seberat 760.60 gram serta 32 biji pil ekstasi.
Polis turut menyita kereta BMW X1 serta wang tunai berjumlah RM10,000 dipercayai hasil dari aktiviti pengedaran dadah.
Beliau berkata suspek dipercayai memperoleh bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang.
“Lelaki yang mempunyai rekod jenayah itu dipercayai aktif sejak enam bulan lepas dan kini direman selama tujuh hari bermula Ahad untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(1) ADB 1952.
Sumber: BERNAMA