Seorang lelaki dilaporkan mengalami kegagalan organ setelah didakwa mengubah cendawan psychedelic menjadi suatu cecair dan kemudian menyuntik ke dalam uratnya. Kejadian tersebut dicatat di dalam Journal of Academy of Consultation-Liaison Psychiatry di mana lelaki yang berusia 30 tahun itu dikejarkan ke bilik kecemasan Nebraska.
Para doktor yang menulis kajian tersebut mengatakan, lelaki itu dipercayai mengalami gangguan bipolar jenis 1 dan tidak mengambil ubatnya menyebabkan dirinya mengalami kemurungan dan depresi.
Difahamkan, lelaki itu didakwa pernah melakukan penelitian bagaimana untuk mengurangkan penggunaan opioid di rumah, kata keluarganya. Ketika itulah lelaki berkenaan membaca mengenai potensi psilocybin iaitu ubat yang terdapat pada cendawan psychedelic.
Menurut laporan, sejumlah besar kajian menyatakan bahawa psilocybin boleh merawat sistem kemurungan dan depresi. Sebelum ini, para penyelidik di Johns Hopkins dan New York University telah melakukan kajian kecil terhadap seorang pesakit barah yang dipercayai mengalami kegelisahan dan kemurungan. Apabila diberikan psilocybin, ia menunjukkan kesan yang baik selepas rawatan.
Ubat tersebut tidak boleh disuntik ke dalam badan individu tetapi sekiranya seseorang ingin mengambil cendawan psychedelic sebagai rawatan, ia perlu memakannya dalam bentuk kapsul atau serbuk kemudian ditelan.
Namun begitu, lelaki yang bernasib malang itu merebus cendawan tersebut di dalam air dan menyaring cairannya melalui kapas dan kemudian menyuntik cairan tersebut ke dalam aliran darahnya. Ketika doktor melakukan pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan, dokrot mendakwa lelaki itu mengalami kerosakkan hati, buah pinggang malah mengalami kegagalan organ dalaman.
Bukan itu sahaja, sampel darah menunjukkan kulat ‘tumbuh’ subur di dalam aliran darah lelaki itu sehingga menjejaskan kesihatan. Dirinya dipercayai perlu memakai ventilator untuk bernafas dan darahnya perlu disaring untuk membuang toksin.
Lelaki berkenaan turut ditahan di wad selama 22 hari dan diberikan dua antibiotik serta rawatan anti-kulat yang perlu diambil untuk jangka masa panjang setelah dirinya dibenarkan keluar dari hospital.
Sumber: Insider