
Seorang lelaki berusia 63 tahun bertindak memasang sembilan penyaman udara di apartmen yang disewanya hingga telah menimbulkan masalah kepada beberapa jiran lain disebabkan oleh pemeluwapan.
Pada kebiasaannya, penduduk di apartmen hanya boleh memasang satu atau dua unit penyaman udara sahaja bagi setiap unit kediaman yang diduduki.
Bagaimanapun memetik Mothership, penyaman udara yang dipasang oleh lelaki tersebut telah menyebabkan munculnya tompok kulat pada bahagian dinding kediaman mereka.
Disebabkan itu, tindakan lelaki tersebut untuk kekal berada dalam keadaan suhu yang sejuk disifatkan sebagai pentingkan diri sendiri hingga jiran-jiran berhampiran kediaman rumahnya mengemukakan aduan berkaitan hal berkenaan.
Manakala salah seorang jirannya yang sama-sama menetap di pangsapuri di Singapura itu terpaksa mencuci lantai hingga tiga kali sehari.
“Sakit kepala saya dibuatnya. Apatah lagi melihat dinding rumah yang muncul tompok-tompok kulat kerana sikap jiran yang tidak bertanggungjawab.
“Malah, kemasan lantai di rumah saya juga mula merekah disebabkan perbezaan suhu yang berlaku,” katanya lapor Shin Min Daily News menerusi Mothership.
Selain itu juga, lelaki tersebut difahamkan turut menetapkan suhu sehingga 18 darjah Celsius setiap hari hingga diperakui jiran-jirannya kepada wartawan semata-mata untuk berada dalam keadaan yang selesa semasa musim panas terik.
Dalam pada itu, lelaki tersebut menjelaskan bahawa dia mempunyai masalah kesihatan iaitu kanser hati dan mendakwa suhu yang sejuk boleh meningkatkan tahap imunisasinya.
“Saya pasang lima penyaman udara di ruang tamu, dua di bilik utama dan baki dua lagi di bilik lain.
“Saya perlu membayar bil sebanyak RM32,900 sebulan bagi sembilan unit penyaman udara tersebut,” katanya.
Akhirnya, lelaki tersebut akur dan berpindah dari apartmen berkenaan selepas pihak pengurusan menerima terlalu banyak aduan daripada penduduk yang berjiran dengannya.
Sehubungan itu dia juga terpaksa membawa bersama lapan penyaman udara miliknya berpindah ke kediaman yang baharu.
“Jika perlu pasang penyaman udara di rumah yang baru sudah pasti ia akan memerlukan kos yang agak tinggi, namun saya tidak kisah asalkan dapat hidup dengan selesa,” katanya.
Sumber: Mothership