Seorang lelaki di Taiwan mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan teman wanitanya selepas mendapat tahu patung kesayangannya dibuang.
Patung tersebut, Nezuko yang merupakan watak popular dalam anime Demon Slayer dilaporkan bernilai kira-kira RM14,000.
Berdasarkan hantaran di laman Facebook, lelaki berkenaan meluahkan rasa marahnya apabila dia mendapati teman wanitanya itu membuang patung Nezuko tersebut hanya semata-mata kerana isu ‘ruang’.
“Kamu tahu berapa harga model (patung) yang saya anggap seperti isteri saya ini? Beratus ribu! Itulah hasilnya selepas saya bekerja keras selama beberapa tahun.

“(Tapi) kamu bungkuskannya dalam beg sampah dan membuangnya ke dalam trak sampah. Hanya kerana kamu kata, ‘sudah hujung tahun, benda ni ambil banyak ruang’.
“Saya telah kehilangannya semalam,” luahnya, memetik hantaran tersebut.
Dalam pada itu, lebih memeritkan hatinya lagi adalah apabila teman wanitanya itu didakwa membuangnya tanpa bertanyakan terlebih dahulu.
Ternyata perasaan sayang kepada wanita terbabit kian pudar, malah terus bertukar menjadi marah. Sekaligus meretakkan hubungan mereka berdua.
“Saya betul-betul terpaksa putuskan hubungan ini. Saya tahu kamu tidak suka saya sejak mula-mula kita bertemu,” katanya lagi.

Tidak cukup dengan itu, lelaki itu mempersoalkan tentang sifat menghormati hak dan minat orang lain yang tidak ada pada teman wanitanya itu.
“Saya lelaki yang begitu menyukai anime. Saya tidak kisah pun kamu layan drama Korea setiap hari, (tapi) susahkah nak hormat orang lain?
“Sudah begitu lama saya cuba untuk menyembunyikan kemahuan saya semata-mata untuk penuhi permintaan kamu.
“Saya rasa sangat sakit dan begitu sakit. Saya menzalimi diri saya kerana cinta, hanya untuk wanita sampah seperti kamu,” jelas hantaran itu lagi.
Sumber: Facebook