lelaki bunuh isteri
Kredit: Jakarta Kota

Lelaki Menangis Dakwa Dirompak, Rupanya Bunuh Isteri Sendiri

Azizah Najib

Lelaki Menangis Dakwa Dirompak, Rupanya Bunuh Isteri Sendiri

Indonesia – Seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan polis selepas disyaki membunuh isterinya dan membuat cerita palsu seolah-olah mereka menjadi mangsa rompakan bersenjata, lapor CNN Indonesia.

Kes pembunuhan itu berlaku di kediaman mereka di Perumahan Puri Anggrek, Kota Serang, Banten, pada Ahad lalu, kira-kira pukul 3.30 pagi waktu Indonesia Barat (WIB).

Kejadian terbongkar selepas anak pasangan berkenaan menangis dan menjerit meminta pertolongan. Jiran tetangga yang mendengari jeritan tersebut bergegas ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, mereka menenangkan anak mangsa sebelum menemui mangsa, 35, dalam keadaan terbaring dan sudah tidak bernyawa, dengan badannya diikat di dalam rumah.

Suspek yang ditemui berada dalam guni dengan kesan lebam di kepala dihantar ke Hospital Sari Asih, Kota Serang untuk rawatan lanjut.

Laporan polis kemudiannya dibuat oleh orang awam.

Siasatan dijalankan di lokasi kejadian oleh pihak polis kira-kira jam 5.30 pagi. Berdasarkan siasatan awal, beberapa barangan kemas didapati hilang, sekaligus memperkuat dakwaan kononnya berlaku rompakan.

Namun, siasatan lanjut mendapati pembunuhan itu dilakukan oleh suspek sendiri, yang mereka cerita tentang kejadian rompakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Video yang memperlihatkan lelaki itu menangisi isterinya juga tular di media sosial.

Menurut pihak keluarga, suspek dipercayai bertindak demikian selepas mangsa memeriksa telefon bimbitnya dan menemui hantaran mesra bersama wanita lain. Mangsa dipercayai menegur suaminya, namun dibalas dengan tindakan ganas. Suspek bertindak mencekik leher mangsa dengan seutas tali sehingga maut.

Ketua Polis Daerah Serang Kota, Kombes Pol Yudha Satria berkata suspek turut berpura-pura bersedih di rumah mayat serta ketika upacara pengebumian.

“Bagi mengelakkan perbuatannya dikesan, suspek telah mereka satu situasi seolah-olah mereka menjadi mangsa rompakan. Dia mencederakan dirinya sendiri dengan menghentak kepala menggunakan objek tumpul supaya kelihatan seperti dipukul orang lain.

“Suspek juga mengambil anting-anting emas milik mangsa dan membuangnya ke dalam tandas sebagai alibi kononnya barang kemas mangsa telah dirompak,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, ahli keluarga mula mengesyaki suspek apabila cerita yang disampaikannya sering berubah. Selepas dipujuk secara lembut oleh ahli keluarga, suspek akhirnya mengaku membunuh isterinya dan menyerahkan diri kepada pihak polis pada 3 Jun.

Yudha mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan siasatan masih dijalankan.

“Suspek sudah ditahan dan sedang disoal siasat di Polresta Serkot,” katanya.

Sumber: CNN Indonesia

BACA: 33 Pekerja Warga Asing Cedera, Bas Kilang Terbalik Di Bangi

BACA: 11 Maut, Puluhan Cedera Akibat Rempuhan Ketika Sambutan Kemenangan Kelab Kriket India