BUKIT MERTAJAM, 17 Jun — Seorang lelaki warga emas yang melecur di beberapa bahagian badan selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Arumugam Pillai, di sini malam tadi meninggal dunia hari ini ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata mangsa Chan Kim Weng, 61, yang melecur lebih 70 peratus di badan meninggal dunia kira-kira pukul 3.50 petang semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu.
“Lelaki itu berjaya diselamatkan pasukan bomba yang memadam kebakaran berlaku pada pukul 7.50 malam semalam sebelum mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam. Namun, petang ini kami terima maklumat warga emas berkenaan telah mati akibat melecur,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan siasatan mangsa yang tidak bekerja serta masih bujang tinggal di rumah kedai milik bapa saudaranya itu sejak 10 tahun lalu dan premis dua tingkat tersebut menjalankan perniagaan kimpalan besi.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini polis menjalankan siasatan kes itu sebagai mati mengejut.
Sumber: BERNAMA