KUCHING, 24 Mac – Seorang lelaki maut akibat tertimbus dalam sebuah lubang, ketika beliau melombong emas secara haram bersama dua rakannya di Gunung Tabai di Bau, kira-kira 40 kilometer dari sini.
Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata mayat Mat Tapa, 26, ditemui tertimbus di bawah runtuhan batu dan tanah oleh pasukan mencari dan menyelamat, namun mayat itu masih belum dapat dikeluarkan.
“Semasa operasi menyelamat dijalankan pada pukul 11.20 pagi anggota operasi ternampak tangan, dipercayai tangan manusia, di dalam satu lubang, tetapi mayat itu tidak dapat dikeluarkan kerana tertimbus batu batan dan tanah,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata terdahulu, dua rakan Mat Tapa yang turut terperangkap dalam kejadian pagi tadi, berjaya diselamatkan.
Pagi tadi, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman dilaporkan berkata berdasarkan maklumat awal yang diterima pada pukul 9.10 pagi, tiga lelaki dikatakan terperangkap di kawasan itu, dan dua daripadanya telah diselamatkan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Bau, Tawing Lingem dalam satu kenyataan berkata kerja-kerja membawa mayat keluar dari kawasan itu akan disambung pada pukul 8.00 pagi esok.
Katanya posisi dan kedudukan jasad yang tertimbus itu berada di lokasi berbahaya, disebabkan struktur galian yang tidak stabil, sekali gus membahayakan anggota penyelamat.
— BERNAMA