BUKIT MERTAJAM, 30 Mei (Bernama) — Seorang lelaki maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di tepi jalan Taman Usahaniaga, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata mayat lelaki berusia 51 tahun itu ditemukan terbaring tidak sedarkan diri oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan pada 3.40 pagi sebelum dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan lanjut.
“Semasa ditemui, mangsa dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar pendek paras lutut manakala tangan kanannya menyentuh tiang elektrik di jalan tersebut.
“Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati ada kesan melecur pada siku tangan kanannya dipercayai terkena renjatan elektrik. Laporan bedah siasat juga mendapati mangsa mati disebabkan renjatan elektrik,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
— BERNAMA