
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Seorang penyelia pengawal keselamatan maut manakala lapan lagi cedera selepas kereta yang dipandu mangsa merempuh sebuah lori pembersihan jalan di KM5.7 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menghala ke utara, di Bandar Utama Damansara, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Azman Shari’at berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 6 pagi itu, Mohamed Zaini Zakaria, 32, yang memandu kereta jenis Honda Accord maut di tempat kejadian.
“Mangsa disyaki mengantuk dan tidak sempat mengelak dan melanggar belakang lori yang sedang menjalankan kerja-kerja mengutip peralatan penutup jalan di lorong kanan LDP berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Azman berkata, akibat rempuhan itu, kereta mangsa terbabas ke kiri jalan dan melanggar lori berkenaan sehingga mencederakan tujuh pekerja warga Bangladesh dan seorang pemandu warga tempatan.
Semua mangsa yang cedera ringan itu berusia lingkungan 20 hingga 40-an.
Katanya, kesemua mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan manakala mayat mangsa dibedah siasat di hospital sama.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor berkata mangsa yang tersepit di bahagian pemandu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang berada di tempat kejadian,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
— BERNAMA