IPOH, 20 Julai (Bernama) — Seorang lelaki yang merupakan pesakit mental maut selepas dipukul rakan sebiliknya di sebuah pusat jagaan mental di Tambun di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata kejadian pada kira-kira pukul 8.00 pagi itu dipercayai berlaku selepas suspek berumur 53 tahun berang kerana lelaki itu dikatakan sering membuang air kecil di dalam bilik.
Beliau berkata menurut saksi yang juga rakan sebilik, ini bukan pertama kali lelaki berumur 57 tahun yang juga mempunyai masalah penglihatan dan tidak mampu bergerak aktif itu membuang air kecil dalam bilik, tetapi sudah beberapa kali.
“Ini membangkitkan kemarahan suspek yang kemudiannya bertindak memukul lelaki itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Asmadi berkata pusat jagaan itu mempunyai 50 penghuni dengan empat penjaga, dan menurutnya kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: BERNAMA