PORT DICKSON, 2 Nov (Bernama) — Seorang lelaki yang dikhuatiri lemas sejak petang semalam, ditemukan di pantai Kampung Balak, Pasir Panjang dekat sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, mangsa, Muhammad Azri Abdullah, 25, ditemukan tersangkut di kawasan pokok bakau oleh penduduk kampung yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 1.30 petang.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan operasi SAR yang bermula semalam ditamatkan kira-kira 2 petang tadi,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Operasi SAR itu membabitkan 35 pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Kemang, Port Dickson dan Bandar Seri Jempol termasuk 20 penyelam Pasukan Penyelamat Di Air JPBM serta pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kredit gambar: BERNAMASementara itu, Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata mangsa dikatakan keluar memancing seorang diri dan dipercayai cuba menyeberangi pantai Sungai Sekawang menuju ke Pulau Asam yang terletak kira-kira 70 meter dari pantai.
“Rakannya yang menunggu di sana telah memberi amaran kepada mangsa untuk tidak meneruskan niat tersebut kerana arus laut yang mulai deras, namun amaran itu tidak diendahkan.
“Mangsa dilaporkan lemas akibat dipukul arus deras petang semalam dan mayatnya ditemukan tersangkut pada akar pohon bakau kira-kira 700 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat,” katanya.
Bapa mangsa, T Siva Prakash, 53 yang berada di lokasi kejadian berkata, mangsa adalah anak sulung daripada tiga beradik memeluk agama Islam dan berkahwin dengan Nurhidayah Tus Salikin Mohd Said, 33, serta memiliki seorang anak perempuan dan lelaki, masing-masing berusia tiga dan satu tahun.
Kredit gambar: APMM
Kredit gambar: APMM
Kredit gambar: APMM
Kredit gambar: APMMSumber: BERNAMA, APMM