Salah satu tumor ginjal yang terbesar di dunia berjaya dikeluarkan dari pinggang seorang lelaki oleh pasukan perubatan Hospital Serdang.
Menerusi perkongsian oleh Public Health Malaysia, ketumbuhan yang berada di dalam pinggang kanan lelaki itu seberat 5.85kg, bersamaan dengan berat dua bayi yang baru lahir.
Mujurlah, tumor yang tumbuh itu bukan sejenis kanser dan pesakit telah kembali sihat setelah menjalani pembedahan. Ikuti perkongsian ini.
Seorang lelaki Malaysia berusia 42 tahun datang ke hospital pada bulan Ogos lalu telah mengadu tentang ketidakselesaan yang teruk, kehilangan selera makan dan penonjolan di perut kanannya.
CT scan telah dilakukan dan mengejutkan, terdapat ketulan besar di abdomen yang berpunca dari ketumbuhan buah pinggang.
Ketumbuhan itu telah menyebabkan saluran-darah utama terhimpit, organ-organ dalaman seperti usus dan hati tertolak ke satu sisi dan menonjol ke rongga toraks, mendorong paru-paru ke atas.

Tumor bersamaan berat dua bayi baru lahir
Bayangkan, Buah pinggang normal mempunyai berat sekitar 120g-150g dan panjang 11cm dan tumor ini kira-kira 50 kali lebih besar!
Pasukan pakar bedah urologi dari Hospital Serdang telah berjaya mengeluarkan tumor ginjal yang dipercayai salah satu yang terbesar di dunia. Tumor ginjal seberat 5.85kg, bersamaan dengan berat dua bayi yang baru lahir.
Tumbuh di dalam buah pinggang kanan pesakit
Pasukan dua pakar bedah urologi dan dua pelatih yang diketuai oleh pakar urologi perundingan Dr Arun Arunasalam, dibantu oleh Dr Chris Lee, mengambil masa sekitar lima jam untuk menghilangkan tumor pada bulan Oktober, yang tumbuh di dalam buah pinggang kanan lelaki itu.
Syukur, tumor itu bukan jenis kanser dan pesakit pulang ke rumah dalam masa kurang dari seminggu.
Pesakit itu, yang berasal dari Negeri Sembilan, telah mula bekereja dan masih menerima temujanji. Selepas pembedahan, pesakit tersebut lebih ringan 6kg dan dapat berlari lebih cepat sekarang.
Sumber: Public Health malaysia