Lelaki Indonesia Kongsi Pandangan Kenapa Pasport Malaysia Antara Terkuat Dunia
Seperti yang diketahui, pasport Malaysia kini berada di tangga ketiga dunia dalam Ranking Pasport Index 2025. Malaysia berada di kedudukan ketiga bersama-sama 15 negara lain, iaitu Belgium, Perancis, Jerman, Belanda, Finland, Luxembourg, Itali, Denmark, Portugal, Switzerland, Greece, Austria, Norway, Ireland dan Korea Selatan.
Kedudukan terbaru ini membuatkan rakyat Malaysia teruja dan merasa bangga. Tidak kurang juga, ada pengguna media sosial dari negara lain yang memuji pencapaian tersebut.
Salah seorang darinya ialah lelaki Indonesia yang baru-baru ini berkongsi pandangan positif mengenai pasport Malaysia.
Menerusi video di akaun TikTok @mrioaldino, dia yang kini tinggal di Malaysia berkongsi kenapa pasport negara ini lebih kuat dari Indonesia.
“Kenapa pasport Malaysia lebih kuat dari Indonesia? Pertama Malaysia ada akses bebas visa ke hampir 180 negara, sementara Indonesia hanya sekitar 70 negara sahaja,” katanya.
Selain itu, dia berpandangan hubungan diplomatik Malaysia lebih luas.
“Banyak negara percaya dan terbuka dengan pemegang pasport Malaysia.
“Reputasi ekonomi dan politiknya juga stabil, buatkan negara lain lebih yakin untuk memberikan izin masuk tanpa visa,” katanya lagi.
Menurutnya, sistem imigresen Malaysia juga lebih efisien, membuatkan imej rakyat lebih dipercayai.
“Sementara Indonesia masih perlu waktu dan kerja keras dari sudut diplomasi dan reputasi global.
“Bukan soal siapa yang lebih hebat, tapi soal kepercayaan dunia terhadap sebuah negara. Ia dibangunkan melalui konsistensi, stabiliti dan imej positid di mata dunia,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, netizen dari Indonesia dan Malaysia memberikan pelbagai reaksi.
“Kuncinya ada di standard pendidikan. Negara-negara yang maju rata-rata mata pelajaran wajib harus pakai bahasa Inggeris… hasilnya? Orang-orangnya mudah bergaul dan diterima di dunia antarabangsa,” kata seorang netizen Indonesia
“Tinggal di Malaysia kerana ikut suami. Teringin juga seperti Malaysia. Semoga Indonesia juga segera lebih baik,” kata seorang lagi.
Sumber: mrioaldino