
Lelaki Indonesia Kongsi Hal Yang Buatnya ‘Faham’ Tentang Malaysia
Tidak dapat dinafikan, menetap di Malaysia menjadi impian ramai, khususnya mereka dari luar negara.
Lebih-lebih lagi, Malaysia sering dilihat sebagai sebuah negara yang bukan sahaja indah dan aman, malah teratur, selesa serta prihatin terhadap kebajikan rakyatnya.
Daripada kemudahan awam yang mesra pengguna, sistem pendidikan yang tersusun, sehinggalah kepada pelbagai program bantuan kerajaan yang merangkumi semua lapisan masyarakat.
Ia mencerminkan komitmen dan keprihatinan negara terhadap kesejahteraan rakyatnya. Inilah yang menjadikan Malaysia bukan sekadar sebuah negara yang membangun, tetapi sebuah negara yang berjiwa rakyat.
Itulah yang dikongsikan oleh seorang pemuda Indonesia selepas lapan tahun menetap di Malaysia.
Menurutnya dalam klip yang dikongsikan di TikTok @juneforsure, pada awalnya, dia berfikir Malaysia sekadar sebuah tempat.
Tetapi semakin lama di sini, pemuda itu sedar ada perkara-perkara kecil yang membuatkan dirinya rasa hidup di sini berbeza.
“Di jalan raya Malaysia, aku jarang sekali mendengar bunyi hon kereta, bukan kerana jalannya sentiasa lengang, tetapi kerana orang-orangnya lebih sabar.
“Di sini, hon bukan digunakan untuk marah, sebaliknya hanya dibunyikan ketika perlu,” katanya.
Dalam masa yang sama, dia juga menyatakan kehidupan di Malaysia juga terasa lebih bersih. Ia disebabkan masyarakatnya sudah terbiasa menjaga kebersihan di tempat awam.
“Jalan raya dan tempat-tempat umum dipelihara bersama. Kehidupan di sini juga terasa lebih teratur. Apa yang lebih mengagumkan, masyarakatnya faham tentang giliran, patuh pada peraturan, dan tahu menghormati orang lain,” kongsinya lagi.
Selain itu, amalan beratur dan bersabar sudah menjadi perkara biasa buat masyarakat di sini, kerana melambangkan adab seseorang.
“Budaya beratur dan bersabar menjadi perkara biasa, bukan kerana terpaksa, tetapi kerana kesabaran dianggap sebagai adab.
“Perkara paling ketara yang aku faham sepanjang tinggal di sini ialah orang ramai tidak suka campur urusan orang lain. Bukan sebab tidak peduli, sebaliknya mereka tahu menjaga privasi dan batas,” kongsinya lagi.
Lebih menarik, apa yang membuatkan dirinya tersenyum tentang Malaysia adalah budaya panggilan ‘Bos’ kepada sesiapa sahaja.
“Dan ada satu perkara lagi yang sentiasa membuatkan aku tersenyum. Aku bukan seorang bos, tetapi di mana-mana aku sering dipanggil ‘bos’.
“Walaupun ringkas, panggilan itu membuatkan aku berasa dihargai. Malah, ketika membeli Teh O Ais sekalipun, aku masih dipanggil bos.
“Bagi aku, inilah yang membuatkan aku benar-benar berasa diterima tinggal di sini,” luahnya.
Sumber: TikTok @juneforsure