lelaki hilang tragis
Gambar: The Pattaya News

Lelaki Hilang Lebih 20 Hari Ditemui Tragis

Hannah

Lelaki Hilang Lebih 20 Hari Ditemui Tragis

Polis Thailand menemui mayat seorang lelaki warga Rusia yang dilaporkan hilang sejak lebih tiga minggu lalu dalam keadaan mengerikan. Lapor media tempatan, Mikhail Emelianov, 30, dilaporkan hilang sejak awal Januari 2026.

Mayat dikerat, ditimbus di 5 lokasi berbeza

Menurut laporan media tempatan, mangsa dipercayai dibunuh sebelum tubuhnya dikerat dan ditanam di lima lokasi berasingan berhampiran sebuah kolam di Pattaya.

Pihak polis memaklumkan bahawa pembunuhan tersebut dipercayai dilakukan secara kejam dan terancang, berdasarkan cara mayat mangsa dilupuskan.

Motif dipercayai berkait hutang

Polis Thailand percaya pembunuhan tersebut mempunyai kaitan dengan pertikaian hutang melebihi AS$120,000 yang didakwa berkaitan dengan urus niaga perniagaan ganja yang gagal.

Siasatan juga menemui mesej ugutan yang dihantar kepada mangsa, menuntut pembayaran hutang tersebut.

Ibu mangsa datang dari Rusia, lapor kehilangan anak

Sebelum penemuan tragis ini, ibu mangsa, Olga Lazarenko, 51, dilaporkan telah terbang dari Rusia ke Thailand untuk mencari anak tunggalnya yang hilang.

Beliau mendedahkan bahawa anaknya kali terakhir menghubunginya pada 7 Januari 2026, dalam keadaan cemas.

Mangsa juga menyatakan dia berasa terancam dan berkongsi lokasi langsung (live location) dengan ibunya.

Dalam mesej terakhir, mangsa memberitahu bahawa dia akan pergi ke Bangkok bersama dua lelaki.

Mangsa juga sempat memberi amaran bahawa jika dia tidak menghubungi ibunya dalam tempoh dua jam, itu bermakna dia berada dalam bahaya serius. Sejak itu, mangsa tidak dapat lagi dihubungi.

Kes masih disiasat, suspek diburu

Kes ini kini dikendalikan oleh Balai Polis Nongprue, dengan siasatan sedang dijalankan secara intensif.

Seorang suspek warga asing telah ditahan dan sedang disoal siasat bagi membantu siasatan.

Selain itu, pihak berkuasa turut memburu beberapa individu lain yang dipercayai terlibat. Ini termasuk kemungkinan warga Thailand dan warga asing yang disyaki menjadi rakan subahat dalam kes tersebut.