SEREMBAN, 4 Nov (Bernama) — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di kawasan Taman Happy, Rasah kira-kira 6.27 pagi tadi telah diperluaskan sehingga ke kawasan Sungai Linggi.
Ketua Polis daerah Seremban, ACP Mohd Said Ibrahim berkata skop pencarian berkenaan meliputi jarak kira-kira 12 kilometer (km) dari tempat mangsa dikatakan hilang.
“Konsep pencarian yang digunakan adalah pencarian kawasan permukaan air kerana arus deras melibatkan 35 anggota bomba dan 12 anggota polis. Setakat ini, pihak kami masih belum menerima laporan mengenai orang hilang dalam kejadian hujan lebat yang berlaku semalam.
“Bagaimanapun, sekiranya mangsa masih lagi belum ditemukan, pihak bomba akan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) esok untuk membantu operasi pencarian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi, Rantau di sini hari ini.
Mohd Said berkata maklumat awal yang diterima polis daripada orang awam setakat ini mangsa adalah seorang lelaki berusia sekitar 20-an dan identiti mangsa juga masih belum dikenal pasti.
Terdahulu, Ketua Balai Bomba Seremban, Mohamad Idris berkata pihaknya telah dimaklumkan pada awal pagi tadi mengenai seorang lelaki didakwa hilang dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir yang berlaku di kawasan itu.
Susulan itu, lebih 30 anggota bomba dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian.
Sumber: BERNAMA