
Lelaki Hampir Temui Ajal, Tak Sengaja Cantas Sarang Lebah Pembunuh & Disengat 20,000 Kali
Seorang lelaki hampir menemui ajal apabila disengat lebah hampir 20,000 kali ketika membersihkan kawasan berdekatan rumahnya, di Ohio, Amerika Syarikat.
Austin Bellamy, 20, diserang serangga berbisa itu selepas tidak sengaja menebas sarang lebah ketika memotong ranting pokok limau. Tindakannya itu menyebabkan beribu-ribu lebah pembunuh Afrika mengerumuni dan menyengat bahagian kepala, leher dan bahunya.
Kejadian itu turut disaksikan oleh nenek, Phyllis Edwards dan bapa saudaranya. Menurut mereka, ketika Bellamy mula membersihkan pokok limau tersebut, kawanan lebah besar mula berterbangan dan mengerumuninya. Bellamy cuba untuk turun dari pokok itu namun dia gagal.
Mereka berdua tidak dapat menghulurkan bantuan kepada Bellamy memandangkan turut menjadi mangsa serangan lebah-lebah berkenaan.

Anggota bomba yang hadir ke tempat kejadian berjaya menurunkan Bellamy dari pokok itu. Dia kemudiannya dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Cincinnati untuk menerima rawatan. Dia terpaksa dipakaikan dengan ventilator dan dikomakan.
Sementara itu, Edwards pula dibawa ke hospital tempatan dengan ambulans bagi tujuan perubatan.
Ibu kepada Bellamy, Shawna Carter berkata, anaknya telah disengat lebih daripada 20,000 kali dan telah menelan hampir 30 ekor lebah, dan kakitangan hospital bertungkus-lumus untuk mengeluarkan haiwan itu daripada mulutnya.
Bellamy sedar dari koma ketika menerima rawatan Rabu lepas, namun masih ditahan di hospital.
Sumber: Daily Star