KEPALA BATAS, 12 Julai (Bernama) — Seorang lelaki ditemukan mati dengan kesan kelar di bahagian kepala di dalam tali air di Permatang Kerai Kecil, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mayat lelaki berusia 32 tahun itu ditemukan orang awam dalam keadaan terlentang bersebelahan motosikalnya pada 8.15 pagi sebelum memaklumkan kepada polis.
“Hasil pemeriksaan awal, polis mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 itu dipercayai terbabas sendiri sebelum masuk ke dalam tali air dan mayatnya kemudian dibawa naik ke atas jalan untuk dihantar ke hospital.
“Ketika ahli keluarga mangsa menanggalkan topi keledar dipakai mangsa, polis mendapati terdapat kesan kelar pada bahagian kanan kepala mangsa,” katanya yang dihubungi hari ini.
Noorzainy berkata kesan kelar itu agak dalam dan pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai punca sebenar kematian lelaki itu.
Beliau berkata mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.
Sumber: BERNAMA