KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) — Menggunakan beg perkhidmatan penghantar makanan untuk menyeludup daun dan air ketum, itulah taktik licik yang digunakan seorang lelaki tempatan bagi mengaburi mata pihak berkuasa untuk mengedarkan bahan terlarang itu.
Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas polis membuat pemeriksaan secara rawak di Taman Sri Timah, Kajang di sini semalam sebelum menahan suspek.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menjumpai 23 bungkusan disyaki air daun ketum, 36 bungkusan daun ketum dan sebuah plastik daun ketum basah.
Beliau berkata siasatan mendapati suspek berusia 26 tahun itu menjalankan kegiatan mengedar air ketum di kawasan Lembah Klang sejak sebulan lepas dengan menggunakan motosikal persendirian.
“Hasil saringan ujian air kencing ke atas suspek, dia didapati negatif dadah manakala nilai rampasan daun dan air ketum berkenaan dianggarkan RM487.40,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaid berkata jumlah keseluruhan daun dan air ketum terbabit dipercayai boleh dibekalkan kepada 20 hingga 50 orang.
Katanya suspek kini direman empat hari bermula hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah manakala kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
— BERNAMA
Sumber: Bernama