Jam 6 pagi Isnin lalu, seorang lelaki Austria berusia 65 tahun telah menggunakan tandas di rumahnya tanpa menyangka dia akan menjadi mangsa serangan si ular sawa.
Menurut Daily Star, mangsa telah digigit oleh seekor ular albino sepanjang 5 kaki di bahagian alat sulit, dipercayai haiwan peliharaan yang terlepas daripada rumah jiran.
Mangsa mendakwa, dia terasa seperti ‘dicubit’ dan apabila berpaling, kelihatan reptilia tersebut melingkar di dalam mangkuk tandas miliknya.
Biarpun gigitan sawa tidak berbisa, dia telah dibawa ke hospital bagi merawat kecederaan sekaligus memastikan tiada jangkitan bakteria berlaku.

Seorang pakar reptilia, Werner Stangl telah dipanggil ke rumah mangsa untuk mengeluarkan ular tersebut daripada lokasi persembunyiannya.
Menurut polis, haiwan itu merupakan antara 11 ular tidak berbisa yang dipelihara seorang jiran berusia 24 tahun di pangsapuri tersebut.
Jelas pemuda itu, dia tidak menyedari ular itu telah hilang dan masuk ke rumah jiran sehinggalah ia dibawa pulang ke rumahnya semula.
Lantaran itu, dia kini mungkin berhadapan dakwaan kecuaian yang menyebabkan kecederaan, lapor Daily Star.