Seorang lelaki dilaporkan telah menghabiskan sejumlah wang dan masanya dalam usaha menjadikan sebidang tanah kepada ‘syurga cinta’ untuk mengagumkan bekas kekasihnya, telah berjaya menarik perhatian warganet selepas gagal memenangi hati bekas kekasihnya itu, lapor Oddity Central.
Pemuda yang berasal dari Desa Hetou, wilayah Guangdong, China itu telah bekerja keras untuk memenangi hati bekas kekasihnya.

Selama sebulan, dia dilaporkan menghabiskan sekitar 100,000 yuan (RM 62665.98) untuk mengubah landskap sebidang tanah kecil berdekatan tasik kepada sebuah ‘Pulau Cinta’ yang lengkap dengan pokok bunga sakura palsu, buaian, susunan batu sungai, dan bermacam lagi.

Dia bahkan turut meyakinkan beberapa penduduk tempatan untuk membantunya dan mengubah tempat itu menjadi sebagai salah satu tanda cinta kepada bekas kekasihnya. Malangnya, perkara yang diharapkannya tidak menjadi kenyataan.
Lelaki yang berusia 30 tahun itu dilaporkan bertemu dengan bekas kekasihnya ketika mereka bekerja di bandar Guangzhou, dan kedua-dua mereka telah menjalinkan hubungan sejak 2018 sehinggalah tahun lalu, ketika dia memutuskan untuk kembali ke kampung halamannya iaitu Desa Hetou untuk menjaga orang tuanya yang sudah uzur.

Malangnya, teman wanitanya itu yang dilahirkan dan dibesarkan di Guangzhou, enggan meninggalkan kehidupan bandar, dan keluarganya juga tidak membenarkannya tinggal di luar bandar. Jadi mereka pun berpisah.
Namun itu bukanlah pengakhirannya buat lelaki tersebut. Bagi memenangi hati bekas kekasihnya itu, dia telah merancang untuk mengekspresikan perasaannya dengan mengerjakan sebidang tanah yang berhampiran dengan tasik sebagai simbol cintanya yang unik pada 20 Disember tahun lalu.
Pembinaan Pulau Cinta itu difahamkan mengamil masa lebih dari sebulan, dan dilaporkan menelan belanja sekitar 100,000 yuan (RM 62665.98). Setelah selesai mengerjakan projek itu, lelaki tersebut telah menghantar gambar-gambar kawasan itu kepada bekas kekasihnya dan telah menyatakan bahawa dia buat semua ini untuk bekas kekasihnya itu.
Walaupun bekas kekasihnya itu kagum dan tertarik, namun dia tidak memberikan respon sebagaimana yang diharapkan lelaki itu.

“Terima kasih atas dedikasi awak yang tulus! Awak akan menjumpai sesuatu yang lebih baik dan bagus daripada saya,” nyata bekas kekasih lelaki tersebut.
Kisah mengenai cinta yang luar biasa ini mungkin tidak akan diketahui sekiranya lelaki tersebut memutuskan untuk memusnahkan Pulau Cintanya itu. Namun bernasib baik tidak, dan ketika penduduk tempatan dan pengunjung lain mula mengambil gambar di kawasan itu serta berkongsikannya di media sosial, pengunjung luar yang datang dari jauh telah tertarik dan mula untuk mengunjunginya bagi melihatnya secara langsung.

Tidak lama kemudian, gambar-gambar kawasan itu telah menjadi tular di media sosial China. Agensi berita juga turut dilaporkan menghantar wartawan mereka ke kawasan tersebut untuk mengetahui kisahnya, dan begitulah bagaimana kisah cinta lelaki itu menjadi terkenal.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Pulau Cinta itu telah banyak dijadikan tempat upacara perkahwinan serta tempat photoshoot. Walaupun lelaki itu gagal dalam misi asalnya, namun Pulau Cinta itu berjaya memenuhi tujuan orang lain dan perkara itu sedikit sebanyak telah menggembirakan lelaki itu.

“Pulau Cinta itu tidak berjaya memenuhi tujuan asalnya, namun ianya telah berjaya memenuhi tujuan orang lain, ianya juga merupakan benda yang bagus,” kata lelaki itu kepada Purple Bull News.
Xu Jingfeng, timbalan setiausaha Hetou Village menyatakan kepada agensi berita yang sama bahawa kejayaan besar Pulau Cinta telah memberi inspirasi kepada pihak berkuasa tempatan untuk mula mempromosikannya di internet dengan harapan dapat meningkatkan aktiviti pelancongan di kawasan itu.
Sumber: Oddity Central