Seorang lelaki di China telah digelar sebagai ‘Spider-Man’ selepas sebuah video yang menunjukkan dia sedang menuruni bangunan 37 tingkat tanpa memakai sebarang alatan keselamatan tersebar.
Kejadian itu telah disaksikan oleh beberapa orang awam yang berada di jalan dan bangunan bersebelahan yang terletak di Guiyang, China pada 27 Mei lalu, lapor media tempatan.
Lelaki ‘Spider-Man‘ itu dilihat hanya memakai kemeja-T putih, berseluar jeans gelap, berstokin putih dan kaca mata ketika menuruni bangunan pencakar langit tersebut.

Laporan mengatakan lelaki berkenaan dilihat tergantung di sekitar bumbung oleh penduduk setempat yang beranggapan bahawa tindakannya agak pelik.
Dia sempat membelek telefonnya untuk seketika sebelum bersandar sekali lagi bagi melihat kawasan bawah.
Pasukan bomba kemudiannya dikerahkan ke tempat kejadian. Namun sejurus selepas lelaki tersebut melihat mereka, dia terus turun dengan melalui bahagian luar bangunan terbabit.
Dipercayai bahawa, lelaki itu telah turun lebih 100 meter sewaktu kejadian berlaku sehingga menyebabkan orang ramai Tidak senang duduk kerana dia menolak sebarang bantuan daripada bomba yang turut mengekorinya menuruni bangunan tersebut.
Walau bagaimanapun, ‘Spider-Man’ itu akhirnya menyerah diri setelah tiba ke tingkat tiga sebelum ditarik semula memasuki bangunan terbabit dengan selamat.
Sumber: Daily Star