Seorang lelaki didakwa memberikan anak tirinya yang berusia 2 tahun dadah jenis crystal meth bagi menyeksanya secara seksual selama berhari-hari sebelum memukulnya sehingga mati, lapor The Sun.
Lelaki yang berusia 30 tahun itu dilaporkan telah memukul dan menendang anak tirinya yang berusia 2 tahun dengan sangat kejam, kata pendakwa raya Henrik Weber kepada juri di Jerman.
Bayi tersebut telah ditemui mati dengan kecederaan retak pada tengkorak kepalanya, organ dalaman hancur dan patah riuk pada tulang rusuknya.

Menurut The Sun, lelaki tersebut didakwa memberikan anak tirinya itu dadah jenis kristal meth dengan dos yang lima kali lebih tinggi daripada dos yang selamat untuk orang dewasa.
Bedah siasat yang dijalankan mendapati bahawa tahap dadah yang terdapat dalam badan bayi berkenaan adalah sebanyak 3,7000 nanogram metamfetamin per liter darah.
Pihak juri dimaklumkan bahawa lelaki tersebut telah memasukkan dadah ke dalam tubuh bayi itu bagi membolehkannya menderanya dengan senang, sebelum membunuhnya untuk menghapuskan bukti penyalahgunaan dadah itu.
“Untuk melakukannya, dikatakan telah memukul dan menendang bayi itu sehingga dia tidak lagi dapat mengesan tanda-tanda bahawa bayi itu masih hidup.
“Selepas itu dia dikatakan telah meletakkan bayi tersebut ke atas katilnya semula dan meninggalkan bilik,” kata dakwaan itu.
Lelaki tersebut hadir ke mahkamah di Halle atas pembunuhan yang berlaku di sebuah rumah di Querfurt, sebuah bandar di wilayah Saxony-Anhalt.
Turut didakwa adalah ibu kepada bayi berkenaan yang berusia 36 tahun dengan tuduhan tidak melakukan apa-apa untuk mencegah penderaan terhadap anaknya yang berusia dua tahun itu.
Tag 24 melaporkan bahawa orang awam yang hadir di perbicaraan itu tersentak ketika diberitahu bahawa tertuduh didakwa berulang kali menyeksa, mendera, mengaibkan dan menganiaya bayi berusia dua tahun itu.

Tertuduh – yang tidak menunjukkan sebarang emosi di mahkamah – telah didakwa dengan tuduhan melakukan penderaan seksual kepada kanak-kanak yang serius, serangan dan pembunuhan.
Ibu kepada bayi tersebut yang dikatakan menutup telinganya ketika perincian mengerikan itu dibacakan telah didakwa dengan perlakuan buruk terhadap anaknya dan kecuaian.
Kedua-dua mereka dilaporkan mengaku tidak bersalah.
Sekiranya lelaki tersebut didapati bersalah, dia bakal berhadapan dengan hukuman penjara seumur hidup manakala isterinya pula bakal menerima hukuman penjara untuk tempoh yang lama, kata RTL.
Perbicaraan kes tersebut masih lagi dijalankan.