Polis IPD Johor Bahru Utara memaklumkan bahawa seorang suspek yang menceroboh rumah di sebuah pangsapuri telah berjaya diberkas.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, lelaki tersebut merupakan seorang warga tempatan yang berumur 27 tahun.
Suspek dikaitkan dengan dengan pencerobohan rumah di sebuah pangsapuri sekitar Jalan Tahana, Tampoi, Johor Bahru seperti dalam video yang tular di media sosial baru-baru ini.
Hasil siasatan mendapati bahawa suspek mempunyai sebanyak 18 rekod jenayah lampau bagi kesalahan jenayah dan narkotik.
Selain daripada itu, suspek juga berstatus orang yang dikehendaki oleh IPD Iskandar Puteri.
Hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atasnya mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
Turut dirampas bersama suspek adalah satu paket plastik kecil lutsinar yang mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 4.30 gram, sebuah kereta Toyota Vios, 5 unit alat kawalan jauh kereta pelbagai jenama, dua unit kamera pelbagai jenama, tujuh unit jam tangan pelbagai jeama dan sebilah parang serta beberapa barang rampasan lain.
Kes disiasat di bawah seksyen 448 kanun keseksaan. Jika didapati bersalah, suspek boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM 5,000 atau keduanya sekali.
Kes tersebut juga turut disiasat di bawah seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya dan seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Justeru daripada itu, pihak polis menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat berkaitan di talian 07-5563122 (IPD Johor Bahru Utara).