lelaki ditahan imigresen disyaki penjenayah
Gambar: ANI

Lelaki Cemas Ditahan Imigresen & Disiasat Berjam-jam Kerana Disyaki Penjenayah, Rupanya Salah Orang

Nurhanis

Seorang lelaki warga India berdepan detik cemas apabila ditahan di Lapangan Terbang Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana disyaki dirinya penjenayah dikehendaki berdasarkan aplikasi pengecaman wajah.

Lapor Wion News, penahanan lelaki warga India bernama Praveen Kumar itu mencetuskan konflik besar hingga melibatkan campur tangan kementerian dan kerajaan UAE sendiri termasuk sesi soal siasat selama berjam-jam.

Bagaimanapun, pegawai imigresen UAE yang menahan Praveen rupanya tersilap orang gara-gara tersalah padan wajahnya dengan wajah salah seorang penjenayah dikehendaki di negara itu.

Kerajaan UAE akhirnya memutuskan untuk melepaskan Praveen – yang langsung tidak bersalah & tiada kena mengena – setelah melakukan sesi soal siasat secara meluas selama berjam-jam lamanya mengenai kes kesilapan identiti pada 11 Oktober.

Akhirnya kepulangan Praveen ke India disambut meriah oleh orang ramai dan petugas media di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Ghandi dan turut menceritakan pengalaman cemasnya ditahan imigresen di UAE.

Segalanya bermula dari transit

Gambar: ANI

Difahamkan, segalanya bermula apabila Praveen yang bekerja sebagai kontraktor sebuah syarikat pembuatan simen di Noida bersama isterinya, Usha sedang dalam perjalanan ke Switzerland dari India melalui transit di Abu Dhabi.

Kata Praveen, sebuah agensi menempah tiket penerbangan transitnya dari Abu Dhabi kerana penerbangan terus dari India ke Switzerland difahamkan tidak tersedia ketika itu.

Bagaimanapun masalah mula berlaku apabila pasport dan visa kedua-dua pasangan itu dirampas pegawai imigresen UAE selepas mereka mendarat di lapangan terbang sebelum dibawa ke bilik khas untuk disoal siasat.

“Mereka menahan saya dan memaksa saya untuk mengaku bahawa saya ialah individu yang disyaki (penjenayah dikehendaki) serta memasukkan saya ke dalam lokap pada waktu pagi.

“Kemudian mereka membawa saya ke bandar lain di mana saya ditahan sekali lagi dan disoal siasat selama berjam-jam,” kata Praveen, memetik Wion News.

Difahamkan, selepas berita penahanan pasangan itu menjadi perhatian, ahli keluarga mereka terus menghantar ciapan Twitter kepada Menteri Hal Ehwal Luar India, S Jaishankar dan pegawai kanan kementerian lain untuk memohon bantuan.

Justeru Majlis Daerah Gautam Buddh Nagar SL Yathiraj memaklumkan bahawa keluarga itu telah mengemukakan permohonan untuk membebaskannya susulan aduan yang dibuat oleh Kementerian Luar Negeri, Kedutaan India dan Kementerian Dalam Negeri.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Narendra Modi dan Ketua Menteri Uttar Paradesh Adityanath atas tindakan pantas mereka dalam perkara itu,” tambahnya.

Sumber: Wion News