BERLIN – Seorang lelaki yang membunuh isteri dan tiga anaknya sebelum membunuh dirinya kerana memalsukan sijil vaksinasi Covid-19 ekoran bimbang anak-anaknya akan diambil daripadanya apabila pemalsuan itu ditemui, kata seorang pendakwa raya Jerman pada Selasa.
Polis menemui dua orang dewasa, kedua-duanya 40, dan tiga kanak-kanak berusia empat, lapan dan 10 tahun mati akibat luka tembak di sebuah rumah keluarga di Koenigs Wusterhausen, selatan Berlin, Sabtu lalu.
Dalam nota perpisahan yang ditemui polis, lelaki itu berkata dia memalsukan sijil vaksinasi untuk isterinya. Hal itu diketahui oleh majikannya hingga menyebabkan pasangan itu berasa bimbang sekiranya mereka ditangkap dan kehilangan anak mereka, kata pendakwa raya Gernot Bantleon kepada Reuters.
Polis dipanggil ke rumah itu selepas dimaklumkan oleh saksi yang melihat mayat tidak bernyawa di dalam rumah itu.
Kes mengerikan itu berlaku ketika Jerman telah mengetatkan sekatan untuk cuba membendung gelombang keempat pandemik coronavirus. Mulai bulan lepas, pekerja dikehendaki menunjukkan mereka telah diberi vaksin, pulih atau negatif ujian untuk COVID-19.
Pihak berkuasa Jerman bersetuju minggu lalu untuk menghalang mereka yang tidak divaksinasi daripada akses kepada semua kecuali perniagaan yang paling penting seperti kedai runcit, farmasi dan kedai roti. Mereka juga merancang untuk mewajibkan vaksinasi untuk beberapa pekerjaan.
Sumber: Reuters