Seorang lelaki Melayu yang berkelakuan tidak senonoh dengan mengintai dan merakam rakaman di dalam tandas lelaki di stesen minyak Shell Batu 3, Shah Alam ditangkap polis kira-kira 2.45 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Abd Khalid Othman berkata, suspek yang berusia lingkungan 37 tahun itu terlebih dahulu ditangkap oleh tangkapan awam di lokasi kejadian.
“Suspek telah ditahan oleh orang awam yang hendak menggunakan tandas apabila didapati sedang merakam pengguna di tandas bersebelahan menggunakan telefon bimbitnya.
“Hasil pemeriksaan telefon bimbit suspek, didapati banyak rakaman video orang awam yang sedang membuang air kecil. Laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Khalid, suspek telah dibawa ke Balai Polis Subang Jaya untuk tindakan selanjutnya dan siasatan kini sedang dijalankan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan / Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya berhati-hati dan mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia serta tidak berkelakuan yang melampaui batas,” katanya.
Sebarang maklumat jenayah oleh kerjasama orang awam boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-56210343 untuk tindakan lanjut.
Sumber: Polis Daerah Subang Jaya