BUTTERWORTH , 11 Mac (Bernama) — Seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah cuba memberi suapan kepada seorang anggota polis bulan lepas.
Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, 49, yang didakwa secara rasuah memberi suapan RM150 kepada seorang pegawai polis berpangkat ASP melalui kawannya yang juga berasal dari Bangladesh, sebagai dorongan untuk melepaskannya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda selain wang RM150 dilucutkan hak kepada kerajaan.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa cuba memberi suapan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya kerana kesalahan tidak memakai pelitup muka dengan betul di tempat awam, dan rakannya itu tidak memiliki pasport.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar Jalan Baru, Perai di antara pukul 7.50 petang dan 8.15 malam pada 21 Feb lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azlan Basri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber: BERNAMA