Johor Bahru : Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan polis, selepas didapati mencabul seorang wanita tempatan dengan menyentuh bahagian punggung mangsa, dalam kejadian di luar sebuah pasar raya di Kulai, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Supt Tok Beng Yeow berkata suspek berusia 27 tahun itu ditangkap pasukan peronda polis kira-kira 7.45 malam, selepas dimaklumkan oleh orang ramai.
Katanya, sebelum itu, suspek sudahpun ditangkap oleh orang awam sebelum diserahkan kepada polis.
”Pengadu (mangsa) memberitahu semasa dia sedang melalui sebuah pasar raya, berhampiran pasar malam Taman Manis Kelapa Sawit bersama anaknya, telah ternampak seorang lelaki mengekorinya dari arah belakang.
”Lelaki tersebut kemudian telah menyentuh bahagian punggung pengadu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tok berkata suspek telah pun direman selama empat hari bermula 31 Julai sehingga 3 Ogos ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan.
Sumber : Bernama