
Lelaki Alami Strok, Hampir Maut Selepas Bersin
California – Seorang lelaki hampir menemui ajal apabila saluran arteri di lehernya pecah selepas bersin dan mengakibatkannya mengalami strok, lapor UNILAD.
Mangsa, Ian Applegate sedang duduk bersama isteri dan anak di dalam kereta mereka apabila lelaki tersebut mula bersin sebanyak tiga kali. Sejurus selepas itu, dia mengalami sakit kepala yang melampau, pening dan sakit yang melampau dari leher yang naik ke belakang kepala hingga ke mata kirinya. Dia turut mengalami sakit yang mencucuk sehingga menyebabkan seluruh bahagian kiri wajahnya menjadi kebas.
Lelaki berkenaan dikejarkan ke Hospital Domincan di Santa Cruz dan disahkan mengalami strok. Ia disebabkan oleh koyakan di bahagian dalam saluran arteri vertebra di belakang lehernya.
“Hari kejadian merupakan hari pertama saya kembali bekerja selepas cuti sakit selama seminggu disebabkan selesema.
“Selepas kerja, saya terus uruskan kuda-kuda kami. Saya berada di dalam trak selepas meletakkan anak saya yang berusia empat tahun di kerusi penumpang.
“Selepas sahaja saya hidupkan kereta dan bersedia untuk memandu, saya bersin sebanyak tiga kali. Bersin kali ketiga membuatkan saya rasa sakit kepala teramat sangat dan segalanya rasa seperti berpusing,” kongsi Ian.
BACA: Lima Kes Kusta Ditemukan Di Selangor – Pengarah JKNS
Lelaki berkenaan turut disahkan hampir menemui maut apabila koyakan tersebut menyekat arterinya. Susulan itu, dia dimasukkan ke unit rawatan rapi untuk 24 jam dan diberikan pencair darah bagi mengelakkan berlaku darah beku.
Difahamkan, lelaki yang bekerja sebagai jurutera itu telah berada di hospital semenjak 9 Februari disebabkan menghadapi kesukaran untuk menelan. Dia turut memerlukan bantuan untuk berjalan akibat strok yang dialami di bahagian kiri tubuhnya.
Berkongsi pengalamannya menerusi UNILAD, Ian berharap untuk segera sembuh dan pulang sebelum kelahiran anak keduanya pada April.
BACA: Kanak-Kanak Lelaki Empat Tahun Cedera Diserang Anjing
BACA: Warga Emas Hilang Di Hutan Sarikei Hampir Seminggu Ditemukan Selamat
Sumber: UNILAD