PUTRAJAYA, 17 Dis – Seorang lelaki warganegara tempatan berusia 36 tahun di Johor antara tiga individu yang meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki berkenaan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang kronik.
Jelasnya, mangsa korban COVID-19 ke-430 itu meninggal dunia di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
Selain itu, kematian kedua iaitu kematian ke-431 (kes ke-68320) melibatkan seorang lelaki tempatan di Sabah.
Lelaki berusia 55 tahun itu dilaporkan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Manakala kematian ketiga, iaitu kematian ke-432 (kes ke-86,886) pula melibatkan seorang lelaki bukan warganegara di Sabah.
Lelaki berusia 81 tahun itu dilaporkan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, buah pinggang kronik, jantung dan gout serta jenazahnya dibawa ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.
Sementara itu, terdapat 106 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dalam masa sama 53 kes daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sumber: KKM