IPOH, 9 Sept – Seorang ahli perniagaan yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini Januari lalu kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal keselamatan sebuah kondominium, dihadapkan sekali lagi ke mahkamah hari ini atas pertuduhan membunuh, berikutan kematian mangsa pada bulan lepas.
Pertuduhan itu dipinda selepas polis mengklasifikasikan semula kematian pengawal keselamatan itu, yang diserang ketika bertugas di kolam renang di kondominium tersebut pada Disember tahun lalu, sebagai kes bunuh.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh seorang lelaki berusia 33, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh S. Thava Sagayam, 64, di tingkat 7, Menara Majestic, Jalan CM Yusuff, di sini antara pukul 8 pagi hingga 9.30 pagi pada 29 Dis tahun lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Sebelum ini tertuduh didakwa mengikut Seksyen 355 kanun sama kerana menyebabkan cedera parah atas bangkitan marah dan bagi pertuduhan itu, mahkamah hari ini melepaskan tanpa membebaskan tertuduh.
Mahkamah menetapkan 18 Okt untuk sebutan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azlina Rasdi manakala tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein.
Dalam satu kenyataan media daripada Ketua Polis Perak, Dato Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid, pihaknya telah menjalankan satu siasatan konklusif dan komrehensif di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan (kesalahan membunuh orang) sebaik sahaja kematian pengawal keselamatan tersebut dilaporkan meninggal dunia pada 27 Ogos 2021 lalu.
Pada 29 Disember 2020 yang lalu, pihak polis telahpun menjalankan siasatan atas kesalahan mendatangkan kecederaan kepada pengawal keselamatan tersebut sehingga membawa kepada penangkapan seorang lelaki berbangsa Melayu berusia 33 tahun.
Setelah pihak polis menglasifikasikan semula kes di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan, Jabatan Peguam Negara telah bersetuju untuk meminda pertuduhan dan tertuduh akan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan pindaan daripada seksyen 355 Kanun Keseksaan kepada 302 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, pihak polis memohon kepada orang ramai agar tidak membuat tanggapan negatif terhadap pihak polis yang masih dan sedang menjalankan siasatan sehingga kes ini diputuskan oleh pihak Peguam Negara.


Sumber: PDRM, Bernama