
Kuala Lumpur, 6 September 2024 – LEGOLAND® School Challenge 2024 memecahkan rekod baharu dengan penyertaan 3,700 pelajar daripada tujuh negara sekaligus mengatasi jumlah penyertaan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Sebanyak 554 penyertaan berjaya direkodkan, dengan 50 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu telah direkodkan di mana cabaran ini telah menarik perhatian peserta dari tiga negara baru iaitu China, Thailand dan Laos.
Bertemakan “Dunia Fantasi”, sebanyak 16 ciptaan LEGO terbaik telah dipamerkan sempena acara penutupan LEGOLAND School Challenge yang bertempat di LEGOLAND Malaysia Resort pada 3 September lalu. Kesemua ciptaan ini telah dinilai oleh barisan panel hakim yang terdiri daripada pembina LEGO profesional, pereka serta peminat setia.

“Saya sangat gembira melihat penyertaan yang kuat dari sekolah-sekolah di Johor, mencerminkan semangat dan dedikasi pelajar kita dalam menceburi usaha kreatif dan inovatif. Semasa kami terus memupuk inovasi dan pembelajaran di sekolah-sekolah kami, acara seperti ini memainkan peranan penting dalam mempersiapkan generasi pemimpin kami yang seterusnya,” tambah beliau.
Sebanyak 16 pasukan pemenang telah menerima hadiah bernilai lebih RM100,000, termasuk trofi LEGO ikonik, Set Mainan LEGO serta peluang menghadiri Bengkel Pembinaan LEGO eksklusif dengan Pembina Model LEGO Pakar. Bengkel khas ini membolehkan semua pemenang belajar secara langsung daripada pakar, memantapkan kreativiti dan kemahiran pembinaan LEGO mereka.


“Menjadi sebahagian daripada LEGOLAND School Challenge adalah salah satu pengalaman terbaik bagi saya,” ujar Nathanael Yap, Pemenang Hadiah Utama, Kategori Sekolah Menengah, Campus Rangers International School.
Jelas beliau yang telah menyertai pertandingan ini selama tiga tahun berturut-turut, beliau dapat mencabar diri sendiri selain bertemu rakan baru serta memasang impian menjadi Pembina Model Master LEGOLAND.
“Saya telah beralih dari mengikuti arahan kepada mencipta rekaan saya sendiri, yang sangat mengagumkan. Cabaran ini telah membuat saya sedar bahawa saya ingin melakukan sesuatu yang kreatif pada masa depan, mungkin menjadi Pembina Model Master LEGOLAND!”

Kali ini, LEGOLAND Malaysia Resort dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) turut menyumbang 50 set LEGO kepada sekolah-sekolah di seluruh Malaysia yang tidak berpeluang menyertai cabaran ini bagi menyokong kreativiti para pelajar.
“Sebagai rakan strategik, kami gembira untuk menyokong LEGOLAND Malaysia Resort dalam usaha berterusan mereka untuk memberdayakan guru dan pelajar dengan saluran pembelajaran yang positif, di mana anak-anak muda kita dapat mengembangkan kemahiran berasaskan STEM serta belajar untuk bekerjasama dengan orang lain dalam persekitaran yang menyeronokkan dan menarik,” ujar Zainal Bin Abas, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Divisyen di LEGOLAND Malaysia Resort, CS Lim berkata, cabaran tahun ini merupakan satu kejayaan dan berharap agar ia disertai lebih banyak pasukan antarabangsa pada tahun berikutnya.
“Sebagai inisiatif yang merangkumi inti pati DNA LEGO kami, pembelajaran melalui permainan, LEGOLAND School Challenge adalah sesuatu yang sangat dekat di hati kami,” katanya.
“Kami sangat gembira telah mencapai beberapa kejayaan baru tahun ini, dari mencapai bilangan penyertaan yang memecahkan rekod hingga menyambut pasukan baru dari negara-negara di Asia, dan yang paling penting, dapat membuat cabaran ini lebih mudah diakses kepada pelajar kurang bernasib baik di seluruh negara.
“Kami berterima kasih atas sokongan kerajaan Malaysia dalam menjayakan kejayaan ini dan kami berharap dapat terus bekerjasama untuk meningkatkan pendidikan di negara ini. Kami lebih berkomitmen daripada sebelumnya untuk mencapai kejayaan baru melalui program ini dan berharap dapat melihat lebih banyak pasukan antarabangsa menyertai tahun depan,” ujar beliau.


