Legenda Baharu Bangkit Di Resorts World Genting: The National Luminous Dragon King Championship
Nantikan kelahiran legenda baharu apabila Arena of Stars bergemerlapan dengan semangat dan kemahsyuran pada 14 Disember 2025. Resorts World Genting (RWG) mempersembahkan Resorts World Genting National Luminous Dragon King Championship, sebuah pertandingan kebudayaan baharu yang unggul dan berseri. Acara ini menghimpunkan pasukan tarian naga terbaik dari seluruh negara dalam persembahan menakjubkan yang menonjolkan kemahiran, kreativiti serta daya ketahanan para peserta.
Buat julung kalinya, 20 pasukan tarian naga terbaik Malaysia akan berkumpul demi merebut gelaran berprestij “Dragon King” sewaktu kejohanan yang akan memberi nafas baharu kepada salah satu seni persembahan paling ikonik di Asia. Setiap pasukan bakal menampilkan persembahan yang menyerlahkan keharmonian gerakan, ketangkasan fizikal dan kreativiti, disulami dengan kilauan sisik naga yang memukau, irama gendang yang menggema serta aksi akrobatik yang mengagumkan. Semuanya pasti memikat pandangan dan memukau hati para penonton.

Diilhamkan dari bimbingan Pasukan Tarian Naga dan Singa Persatuan Alumni Sekolah Menengah Katolik (Catholic High School Alumni Association Dragon & Lion Dance Troupe), kejohanan ini memperkenalkan segmen rekaan kreatif yang membuka lembaran baharu dalam evolusi seni tarian naga tradisional. Setiap pasukan diberi cabaran untuk menghasilkan dan menggabungkan elemen rekaan tersendiri bagi memperkukuh jalan cerita serta koreografi persembahan. Inovasi ini menjadikan seni tarian naga satu persembahan pelbagai dimensi yang memperlihatkan kehalusan seni, daya imaginasi dan warisan budaya, sekali gus menghidupkan kisah mempesona yang dipenuhi cahaya, gerakan dan emosi.
Antara pasukan yang akan bertanding, termasuk Malaysia Yahya Awal Dragon Dance Troupe, Malaysia Khuan Loke Dragon & Lion Dance Association, Persatuan Pendidikan Jasmani Friendship Wilayah Persekutuan, Persatuan Tarian Naga Ao Feng Gong Batu 8 1/2 Skudai Johor Bahru, Pei De Dragon & Lion Dance Association Kajang, Persatuan Sosial dan Rekreasi Hai Yang Kedah dan Perlis, Malacca Gao Feng Lion & Dragon Dance Athletic Association, Persatuan Tarian Naga & Singa Hong Teck Brickfields Kuala Lumpur, serta Persatuan Penganut Agama Buddha Thai Wat Phra Buddha Jinaraja Melaka.
Turut menyertai ialah Persatuan Qun Sheng Tarian Singa Sabah, Persatuan Kebudayaan Tarian Naga dan Singa Chea Mien Hong Teck Ipoh Perak, Ipoh Chinese Chin Woo Athletic Association,
Tarian Singa Kwong Ngai Putrajaya, Pertubuhan Kew Ong Yeah Dragon and Lion Dance Pulau Pinang, Persatuan Kesenian dan Budaya Hua Yi Pulau Pinang, Kelab Tarian Singa dan Naga Xuan Long Shi, Tarian Naga Teochew Eight Districts Association (Johor Bahru), Xuan Long Dragon and Lion Dance Ampang Selangor, Malaysia Tan’s Lion and Dragon Dance Association, serta Persatuan Kebudayaan dan Rekreasi Kang Yuan Muar Johor.

Resorts World Genting National Luminous Dragon King Championship membuka lembaran baharu dalam agenda kebudayaan negara dengan menggabungkan tradisi dan inovasi moden di mana setiap gerak tari membawa kisah tentang warisan, semangat dan keharmonian.
RWG bertekad untuk mengangkat martabat seni tarian naga ke tahap yang lebih tinggi dengan merintis pembangunan Kejohanan Naga Gemilang Kebangsaan sebagai acara kebudayaan berkonsepkan sukan. Inisiatif ini berpotensi untuk berkembang menjadi sebuah platform yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Usaha ini bertujuan memelihara serta mempromosikan warisan seni tradisional yang bernilai, sambil menyuntik elemen moden dan semangat kompetitif agar kekal relevan dan menarik minat generasi masa depan.
Kejohanan ini akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 7 malam dan diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah. Para pemenang bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM9,000. RM5,000 untuk Juara, RM3,000 untuk Naib juara dan RM1,000 untuk tempat ketiga, selain trofi dan medal.
Para penonton berpeluang menyaksikan kejohanan penuh gemilang ini secara langsung di Arena of Stars. Tiket kini mula dijual pada harga RM139 untuk PS1 (tempat duduk ditetapkan) dan RM99 untuk PS2 (tempat duduk bebas), tertakluk kepada yuran pemprosesan RM4. Untuk maklumat terkini dan perkembangan terbaru di RWG, sila layari rwgenting.com dan platform media rasmi kami.