wanita jepun tidak berpuas hati
Kredit: AFP

Lebih Dari Separuh Wanita Jepun Tidak Berpuas Hati Dengan Suami?

Nurhanis

Kebanyakan wanita di Jepun dilaporkan tidak berpuas hati dengan suami masing-masing kerana tidak membantu meringankan beban mereka di rumah, lapor CNN Indonesia.

Menerusi hasil tinjauan tahunan yang dilakukan baru-baru ini, lebih 15 peratus penduduk di Jepun melaporkan pasangan mereka tidak melakukan kerja harian seperti mengemas rumah.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh institut penyelidikan swasta Shufu Job Shoken, lebih separuh atau 55.3 peratus menunjukkan isteri di Jepun tidak berpuas hati dengan jumlah kerja yang dilakukan suami mereka di rumah.

Manakala, hampir 40 peratus berkata mereka tidak berpuas hati kerana pasangan hanya memberikan pertolongan yang sedikit.

Sementara itu, 15.5 peratus menyatakan suami mereka tidak pernah memasak, membersihkan atau menjaga anak-anak ketika berada di rumah.

Difahamkan juga, hasil ketidakpuasan hati dalam kalangan wanita itu merupakan tahap tertinggi yang pernah direkodkan oleh institut yang berpangkalan di Tokyo tersebut sejak penyelidikan bermula tiga tahun lalu.

BACA: Jepun Beri Bantuan Kemanusiaan Tambahan RM307 Juta Kepada Palestin

Begitu juga dengan tahap kepuasan dalam kalangan isteri Jepun yang dicatatkan sebagai yang paling rendah.

Kira-kira 16.7 peratus daripada 510 responden yang berpuas hati dengan hasil kerja dan usaha suami serta mengatakan golongan lelaki telah melakukan kerja yang cukup.

Dalam pada itu, sebanyak 28 peratus menyatakan pasangan mereka hanya melakukan sedikit kerja rumah tetapi mereka tidak merungut tentang perkara itu.

Menurut warga kota Yokohama, Fumiyo Hayashi, 51, suaminya tidak pernah menolongnya memasak, mencuci dan mengemas rumah.

“Saya akui dia membuang sampah setiap pagi, dan tetap melakukannya apabila mahu keluar rumah.

“Saya harap dia melakukan lebih banyak, tetapi sekurang-kurangnya kami tidak mempertikaikan tentang kerja rumah,” katanya kepada Minggu Ini di Asia.

Terdapat beberapa aduan spesifik yang disenaraikan dalam kajian Shufu Job Shoken iaitu suami tidak membuka sarung kaki (stoking) dan meninggalkannya di atas lantai.

Sesetengah wanita mengatakan bahawa suami mereka kurang sedar tentang kerja rumah yang perlu dilakukan dan bertindak untuk mengabaikan tugas tersebut sehingga isteri yang terpaksa mengambil alih melakukan kerja tersebut.

Hasil kajian itu juga menunjukkan satu lagi punca perselisihan adalah disebabkan lelaki gagal memenuhi standard isteri mereka.

Sumber: CNN Indonesia