Gambar: MOF & Bernama

Lebih Banyak Peluang Kerja, Ini Rangkuman Fokus Bajet 2022 Yang Bakal Dibentangkan Esok

Eyla Azri

Pembentangan bajet adalah saat yang paling ditunggu-tunggu rakyat Malaysia setiap tahun. Tahun ini, Bajet 2022 bakal dibentangkan buat julung kalinya oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz esok.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat jam 4 petang esok turut memfokuskan beberapa hal yang dikatakan akan memberi faktor ‘wow’, namun pada masa yang sama bakal memberi manfaat kepada semua.

Berikut adalah rangkuman fokus dalam Bajet 2022 yang bakal dibentangkan esok.

Program bantuan

Program ini dirangka untuk memanfaatkan semua pihak sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia seperti yang diwar-warkan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. Program bantuan ini diyakini berimpak tinggi dan merangkumi:

  • Bantuan kepada golongan B40 dan M40

  • Sokongan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana dapat akses pembiayaan

Mesra orang kurang upaya (OKU)

Bajet 2022 menjamin tiada seorang pun tercicir daripada agenda pemulihan negara pasca-pandemik COVID-19.

Selain bantuan berterusan kepada golongan rentan, Bajet 2022 juga akan lebih mesra Orang Kurang Upaya (OKU). Hal ini termasuk penjanaan pekerjaan melibatkan semua pihak termasuk golongan berkenaan.

Lebih banyak peluang pekerjaan

Bajet 2022 menyasarkan lebih banyak peluang pekerjaan bakal dijana bagi sektor swasta dan awam untuk menangani masalah pengangguran. Ia juga memfokuskan untuk memacu pemulihan bagi mengembalikan negara kepada kedudukan ekonomi pra-COVID-19.

Memperkasa kesihatan

Bajet 2022 akan memberi penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin COVID-19. R&D perlu diperkasakan untuk menghasilkan vaksin lain dan ubat-ubatan baharu.

Ia bertujuan untuk menyediakan negara sekiranya wujud gelombang baharu pandemik. Penekanan R&D dalam Bajet 2022 juga menyasarkan penghasilan vaksin untuk dieksport ke negara yang memerlukan.

Turut ditekankan dalam Bajet kali ini adalah pembinaan Klinik Desa terutamanya di negeri Sabah dan Sarawak.

Memperkasa pendigitalan

Seperti yang kita sedia maklum, individu rata-rata telah beralih ke perkhidmatan dalam talian semasa pandemik COVID-19, terutamanya golongan peniaga.

Oleh itu, kerajaan ingin memastikan seluruh negara mendapat liputan internet dalam masa dua tahun. Maka program Perlaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) diwujudkan sebagai landasan untuk mencapai sasaran 7.5 juta premis pada akhir 2022.

Sektor ekonomi pula dijangka mendapat manfaat dari liputan 5G yang mampu mencipta ekosistem baharu dalam menyampaikan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), transformasi digital, perkhidmatan awam, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI).

Kebajikan penjawat awam

Selain itu, Bajet 2022 juga tidak melupakan kebajikan 1.6 juta penjawat awam yang sentiasa dihargai oleh kerajaan dan rakyat.

Menurut Ismail Sabri dalam sesi Wawancara Bajet 2022 semalam, penjawat awam bakal menerima ‘berita baik’ dalam belanjawan yang bakal dibentangkan esok.

Penekanan kualiti sektor pendidikan

Menurut Ismail Sabri memetik laporan Bernama, Bajet 2022 juga akan menyokong kembali sesi pembelajaran yang telah lama terjejas akibat penutupan aktiviti ekonomi dan sosial.

Tambah Ismail, kerajaan akan terus menekankan kualiti pendidikan serta membina ketahanan sistem pendidikan negara berdasarkan pengalaman semasa pandemik, selain memberi perhatian mengenai pembayaran pinjaman pendidikan.

Sumber: Twitter Bernama, Bernama