“Tindakan Untuk Hentikan Provokasi,”, Tentera Belarus Dilapor Memasuki Sempadan Ukraine
Pihak berkuasa Ukraine mendakwa bahawa tentera Belarus telah memasuki wilayah Chernihiv di utara negara itu untuk menyertai pencerobohan yang dilakukan oleh Rusia.
Memetik laporan Independent, perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Parlimen Ukraine pada hari ini selepas media tempatan membuat laporan awal mengenai kejadian tersebut.
“Tentera Belarus memasuki wilayah Chernihiv, maklumat itu disahkan kepada orang ramai oleh jurucakap Angkatan Pertahanan Wilayah Utara, Vitaliy Kyrylov. Butiran lanjut akan menyusul,” kata Parlimen Ukraine menerusi akaun Twitter rasmi, Verkhovna Rada.
Menurut laporan media tempatan, 33 unit angkatan tentera Belarus telah memasuki Chernihiv.
Sementara itu, Presiden Belarus, Alexander Lukashenko berkata lebih banyak pasukan akan dikerahkan ke sempadan negaranya dengan Ukraine untuk ‘menghentikan sebarang provokasi terhadap Belarus’.
“Mereka adalah kumpulan pengerahan pantas yang terlatih dan bersedia untuk menghentikan sebarang provokasi dan tindakan ketenteraan terhadap Belarus,” katanya.
Beberapa jam sebelum itu, Lukashenko berkata negaranya tidak bercadang untuk menyertai operasi ketenteraan Rusia di Ukraine dan menafikan dakwaan Kyiv bahawa tentera Rusia menyerang dari wilayah Belarus, lapor Belta.
Dalam pada itu, imej satelit yang diambil pada Isnin oleh firma pengimejan AS, Maxar Technologies, menunjukkan bahawa konvoi tentera Rusia sedang berada di utara Kyiv dan penempatan pasukan darat tambahan serta unit helikopter serangan darat di selatan Belarus, kurang daripada 20 batu di utara sempadan Ukraine.
Satu referendum di Belarus pada Ahad lalu meluluskan perlembagaan baharu yang ‘membuang’ status bukan negara nuklear dan boleh ‘membuka jalan’ bagi penempatan senjata nuklear Rusia di bumi Belarus buat kali pertama sejak negara itu menyerahkannya selepas kejatuhan Soviet Union.
“Jika anda (Barat) memindahkan senjata nuklear ke Poland atau Lithuania, ke sempadan kami, maka saya akan berpaling kepada Putin untuk memulangkan senjata nuklear yang saya berikan tanpa sebarang syarat,” kata Lukashenko.
Terdahulu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata bahawa dia telah bercakap dengan Lukashenko pada Ahad dan kemudian merayu kepada Belarus untuk mengelak daripada konflik itu.
“Kami jiran kamu, Kami, orang Ukraine. Jadilah Belarus, bukan Rusia! Anda yang membuat pilihan ini sekarang,” kata Zelensky.
Sumber: Independent