900 gempa jepun
Kepulauan Tokara | Google Earth

Lebih 900 Gempa Bumi Goncang Kepulauan Di Jepun Dalam 2 Minggu

Fazidi

Lebih 900 Gempa Goncang Sebuah Pulau Di Jepun Dalam 2 Minggu

Lebih 900 kejadian gempa bumi direkodkan menggegar sebuah kepulauan terpencil di Jepun dalam tempoh dua minggu lepas, menyebabkan penghuninya hidup dalam keadaan resah.

Menurut BBC, aktiviti seismik berlaku secara aktif di sekitar perairan Kepulauan Tokara sejak 21 Jun termasuk gempa bumi berkekuatan 5.5 magnitud yang berlaku pada Rabu.

Setakat ini, tiada sebarang laporan kerosakan diterima dan amaran tsunami dikeluarkan, namun pihak berkuasa meminta penduduk kepulauan berkenaan untuk bersedia berpindah apabila diarahkan.

Kira-kira 700 orang penduduk dilaporkan tinggal di kawasan sekitar Kepulauan Tokara. Di beberapa buah pulau yang terletak berjauhan, tiada kemudahan hospital tersedia untuk penduduk sekiranya kecemasan berlaku.

Manakala hospital terdekat pula terletak pada jarak perjalanan kira-kira enam jam menggunakan laluan laut, di Kagoshima.

Gempa bumi memang sering dilaporkan berlaku di kawasan sekitar pulau berkenaan sebelum ini, namun kekerapan yang direkodkan sejak kebelakangan ini dianggap sebagai luar biasa.

Terletak di zon digelar sebagai Lingkaran Api Pasifik iaitu kawasan dimana plak tektonik bertemu, Jepun merupakan negara dengan aktiviti seismik paling aktif direkodkan di dunia.

Setiap tahun, sekurang-kurangnya 1,500 kejadian gempa bumi berlaku di negara Matahari Terbit itu.

Penduduk akui ketakutan dan trauma

Sementara itu, beberapa orang penduduk di Kepulaun Tokara mengakui ada masanya merasa amat takut setiap kali gempa bumi melanda.

Ada juga penduduk trauma dengan kekerapan gempa bumi yang berlaku hingga terasa seolah-olah tanah bergoyang biarpun tiadak kejadian gempa dilaporkan ketika itu.

Penduduk yang menawarkan perkhidmatan rumah tetamu di kepulauan berkenaan juga berhenti menerima pelancong sebagai persedian untuk menukar kemudahan berkenaan kepada pusat perlindungan sekiranya diperlukan.

Terdahulu, gempa bumi yang kerap berlaku itu meningkatkan lagi keresahan penduduk di Jepun yang sedang berjaga-jaga selepas tular khabar angin bahawa gempa bumi kuat mungkin berlaku pada bila-bila masa.

Manakala ramalan yang dibuat oleh seorang pelukis manga, Ryo Tatsuki dalam siri komiknya yang diterbitkan sejak 1999 membuatkan ramai warga Jepun bertambah khuatir dengan khabar angin berkenaan.

Dalam edisi yang diterbitkan pada 2021, Ryo Tatsuki membuat dakwaan bahawa gempa bumi kuat akan berlaku pada 5 Julai ini.

Khabar angin gempa bumi dahsyat bakal melanda tingkatkan keresahan warga Jepun

Walaupun bersifat dakwaan semata-mata dan tiada asasnya, namun BBC melaporkan khabar angin itu memberi kesan kepada sektor pelancongan.

Beberapa media tempatan turut melaporkan berlaku peningkatan melibatkan pelancong-pelancong yang membatalkan tempahan perjalanan masing-masing.

Sebahagian besar gempa bumi yang melanda Jepun sebelum ini hanya berkekuatan sederhana. Namun, gempa bumi dahsyat yang berlaku, misalnya pada 2011 telah menyebabkan kejadian tsunami dan meragut lebih 18,000 nyawa.

Menurut AFP, kejadian gempa bumi sangat sukar untuk diramal. Bagaimanapun, sebuah panel pakar di Jepun telah menaik margin kebarangkalian gempa bumi mega akan melanda negara itu dalam tempoh 30 tahun akan datang kepada 75 hingga 82 peratus.

Kerajaan Jepun juga mengeluarkan jangkaan bahawa gempa bumi mega yang berlaku dan tsunami selepas itu boleh meragut sehingga 298,000 angka korban dan menyebabkan kerugian USD2 trilion.

BACA: Pemain Bola Sepak Palestin Maut Dalam Serangan Dron Israel

Sumber: BBC, AFP